Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Louvre pasang 100 kamera, tingkat kawalan keselamatan

    PARIS, 20 NOV – Ketua Muzium Louvre kelmarin berkata sistem kamera pengawasan baharu dan peralatan anti-pencerobohan akan dipasang di mercu tanda Paris itu susulan rompakan mengejutkan melibatkan permata mahkota bulan lalu.

    Kira-kira 100 unit kamera baharu, dijangka beroperasi menjelang akhir tahun depan, manakala sistem anti-pencerobohan akan mula dipasang dalam tempoh dua minggu, kata Pengarah Louvre, Laurence des Cars.

    Dia menyifatkan sistem tersebut sebagai peralatan yang dapat menghalang penceroboh daripada menghampiri bangunan muzium namun tidak menjelaskan butiran lanjut. Kamera pengawasan baharu itu bertujuan memastikan ‘perlindungan menyeluruh di sekitar muzium,’ katanya.

    “Selepas kejutan, selepas emosi, selepas penilaian, kini tiba masa untuk bertindak,” katanya kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Kebudayaan di Perhimpunan Kebangsaan, mengenai muzium yang paling banyak dikunjungi di dunia itu.

    Dia berkata langkah tersebut adalah sebahagian daripada lebih 20 tindakan kecemasan yang akan dilaksanakan. Langkah baharu itu termasuk mewujudkan jawatan ‘penyelaras keselamatan’ di muzium berkenaan dan iklan jawatan itu telah disiarkan bulan ini.

    Pada hari rompakan berlaku, pencuri mengambil masa kurang daripada lapan minit untuk memecah masuk melalui sebuah tingkap ke Galeri Apollo dengan bantuan lif kargo dan melarikan harta bernilai 88 juta euro.

    Des Cars turut mendedahkan beberapa butiran baharu mengenai kelemahan keselamatan yang membolehkan rompakan itu berlaku pada 19 Oktober, dengan mengatakan bahawa alat ganti kuasa yang digunakan perompak untuk memotong bekas pameran ialah pemotong cakera yang biasanya digunakan untuk konkrit.

    ‘Ia merupakan kaedah yang langsung tidak dijangka’ ketika bekas pameran di Galeri Apollo diganti pada 2019, katanya. – AP

    Laurence des Cars semasa sesi pendengaran di Suruhanjaya Kebudayaan Perhimpunan Kebangsaan, pada 19 November di Paris. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda