KOTA KINABALU, 17 APRIL – Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) kini giat membangunkan semula 22,146 hektar kawasan sawah terbiar di negeri ini, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dimaklumkan hari ini.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Peto Galim berkata Kota Belud mencatatkan keluasan sawah terbiar tertinggi dengan 8,652 hektar, diikuti Kota Marudu (3,132 hektar), Keningau (3,514 hektar), Tuaran (2,514 hektar), Papar (2,270 hektar), dan Tambunan (2,064 hektar).
Beliau berkata sawah di kawasan berkenaan didapati terbiar kerana tidak mempunyai sistem pengairan berkesan dan LPBS sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kawasan terbabit dapat kembali berfungsi sebagai pembekal padi dan beras di Sabah.
“Bagi memastikan kelancaran pembangunan dan pengurusan padi di enam daerah tersebut jawatankuasa pembangunan dan pengurusan padi telah ditubuhkan di setiap daerah terlibat, yang dipengerusikan oleh ahli lembaga pengarah LPBS.
“Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian Sabah juga menyediakan latihan teknologi pertanian dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kecekapkan petani bagi tingkatkan penghasilan pertanian tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Annuar Ayub (GRS-Liawan) yang ingin tahu inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha meningkatkan hasil pertanian tempatan. – Bernama
