Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan (DAFF) Australia telah mengesahkan bahawa penyakit kulit berketul (LSD) tidak pernah dikesan di negara tersebut dan bebas daripada LSD.
Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Bahagian Biosekuriti dan Akses Pasaran, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) memaklumkan perkara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berikutan penggantungan sementara import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia oleh negara-negara jiran disebabkan penyakit tersebut.
Setakat ini, hasil pemantauan di ladang ternakan di negara ini, mendapati tiada penyakit tersebut dikesan di sini.
Pihak DAFF juga memberikan jaminan bahawa Australia mengamalkan sistem biosekuriti yang ketat dan rapi di samping sistem survelan penyakit tidak pernah dikesan (eksotik) termasuk LSD.
Ini juga termasuk pemeriksaan rapi ke atas semua ternakan di pelabuhan kapal di negara itu dan mengeluarkan sijil pengesahan bebas dari penyakit serta sihat untuk perjalanan oleh pegawai veterinar sebelum berlepas dari Australia.

LSD adalah sejenis penyakit virus yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau melalui gigitan serangga seperti nyamuk, biting flies atau kutu dan juga jangkitan langsung daripada ternakan yang terdedah kepada virus tersebut.
Kenyataan turut menjelaskan, LSD tidak berjangkit kepada manusia atau memberi kesan negatif kepada manusia apabila kontak secara langsung kepada ternakan tersebut atau dengan memakan daging ternakan yang dijangkiti.
Antara tanda penyakit LSD pada lembu dan kerbau ialah bonjol pada kulit di sebahagian atau keseluruhan badan ternakan, cecair keluar dari mata dan hidung selain mengalami demam dan tiada selera makan.
Jangkitan LSD juga boleh mengakibatkan pengeluaran susu berkurangan, tumbesaran yang lemah dan ketidaksuburan serta menyebabkan keguguran pada ternakan yang hamil.
Dalam pada itu, risiko penularan LSD dan impaknya kepada industri lembu dan kerbau di negara ini adalah minimum, kerana di negara ini tidak terdapat ladang pembiakan dan pengeluaran ternakan lembu dan kerbau pada skala besar dan komersial.
Dengan mengambil kira jaminan terhadap status bebas LSD dan program biosekuriti Australia yang ketat, import ternakan hidup dari Australia ke Brunei masih diteruskan dengan adanya pengukuhan program pemantauan dan pengawalan penyakit.
Ini dengan mempersyaratkan pengesahan bebas LSD atau sebarang penyakit haiwan oleh pihak berkuasa veterinar negara pengeksport termasuk Australia.
Selain itu, ia untuk memastikan ternakan hidup dari mana-mana negara termasuk Australia diperiksa dengan rapi dan disahkan bebas penyakit LSD dan lain-lain penyakit haiwan oleh pegawai veterinar Negara Brunei Darussalam semasa ketibaan di negara ini.
Di samping itu, tidak membenarkan konsainan lembu dan kerbau hidup untuk transit di negara atau kawasan jangkitan LSD sepanjang perjalanan ke negara ini dan menjalankan secara berterusan program pemantauan penyakit haiwan termasuk LSD di ladang ternakan secara klinikal.
Sehubungan itu, orang ramai dan pengusaha industri pertanian dinasihatkan agar tidak berasa cemas atau bimbang dengan insiden penyakit LSD.
KSSUP juga menekankan, pemantauan sentiasa dijalankan secara berterusan oleh jabatan berkenaan bagi mencegah kemasukan penyakit eksotik melalui komoditi pertanian yang diimport supaya pengeluaran industri ternak dan rangkaian makanan negara tidak terjejas.

