Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    LSST TAIB 2025 bangkit semangat tanding

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Pasukan Muara Spurs B menonjolkan aksi yang menarik semasa menewaskan Pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB) B untuk dinobatkan sebagai juara dalam Kategori Perdana manakala Pasukan Warisan Belait A berjaya menewaskan Pasukan Brunei Legacy B untuk dinobatkan juara dalam Kategori Amatur dalam Kejohanan Liga Super Sepak Takraw (LSST) TAIB 2025 semasa perlawanan akhir kejohanan yang berlangsung Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir menyaksikan dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya serta Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) selaku penaja utama kejohanan.

    Majlis kemudian menyaksikan penyampaian hadiah, pingat dan piala pusingan Kejohanan LSST TAIB 2025 kepada pemain terbaik dan para pemenang.

    Bagi Kategori Amatur, Tekong Terbaik disandang oleh Awang Mohd Zainol bin Yusran daripada Pasukan Warisan Belait A, Killer Terbaik disandang oleh Khairulazzemi Anak Sulaju daripada Pasukan Brunei Legacy B dan Feeder Terbaik disandang oleh Awang Mohd Inayatullah bin Omar daripada Pasukan Warisan Belait A.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bergambar ramai pada Kejohanan LSST TAIB 2025. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sementara johan dimenangi oleh Pasukan Warisan Belait A dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,500, sebuah trofi dan pingat, naib johan ialah Pasukan Brunei Legacy B dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,000, sebuah trofi dan pingat; di tempat ketiga bersama diraih oleh Pasukan Brunei Legend dan Pasukan Binglu Tengah Tanah Jambu Warrior A, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak $500, sebuah trofi serta pingat.

    Manakala, bagi Kategori Perdana, Tekong Terbaik disandang oleh LPKL 6220 Awang Aliffuddin bin Jamaludin daripada Pasukan MS PPDB A, Killer Terbaik disandang oleh LPKL 6178 Awang Zatie Hidayat bin Saidi daripada Pasukan MS PPDB A dan Feeder Terbaik disandang oleh Awang Mohd Sahrul Nizam bin Gapar daripada Pasukan Muara Spurs B.

    Sementara johan diraih oleh Pasukan Muara Spurs B dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $5,000, piala pusingan, trofi dan pingat, naib johan ialah Pasukan MS PPDB A dengan menerima wang tunai sebanyak $3,000, sebuah trofi dan pingat; serta tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Miharbi dan Pasukan Muara Spurs A, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,000, sebuah trofi dan pingat kemenangan.

    Edisi LSST TAIB 2025 menampilkan sebanyak 46 pasukan terbaik yang berentap merebut gelaran juara dalam kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, serta Perbadanan TAIB.

    Penganjuran kejohanan LSST kali ketiga itu turut mempertandingkan sebanyak dua acara, iaitu Liga Perdana dengan 14 pasukan dan Liga Amatur dengan 32 pasukan.

    Kejohanan bermatlamat untuk mencari bakat baharu yang berpotensi untuk diserapkan dalam program pembangunan atlet, pelapis dan pemain kebangsaan, di samping menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan sepak takraw sebagai usaha Whole of Nation Approach ke arah cara hidup sihat serta menghidupkan semula sukan tradisi sepak takraw yang telah lama bertapak di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda