LTAB lancar kempen menarik

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Jabatan Penerbangan Awam, petang tadi, telah melancarkan Kempen ‘Brunei International Airport V40 Drive Away Spend & Win’ yang menawarkan sebuah kereta Volvo V40, pada majlis yang berlangsung di Dewan Terminal LTAB.

Hadir bagi melancarkan kempen tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Awang Zakaria bin Haji Mohammad Ali; Ketua Perbankan Runcit dan Divisyen Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan wakil daripada MS Titanstar, Julian Wee.

Pemangku Timbalan Pengarah Penerbangan Awam, Awang Muhammad Emmy Shandy Khairul bin Haji Kadir semasa menyampaikan ucapannya menyatakan, kempen itu adalah salah satu mekanisme permulaan dalam pemodenan LTAB dan diharap lebih banyak acara akan diadakan pada masa akan datang untuk menjadikan LTAB salah satu lapangan terbang dalam Top 100 di bawah Skytrax.

“Diharapkan kempen ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan datang dan lebih ramai penumpang untuk menghabiskan lebih banyak masa di dalam kawasan berlepas. Kami juga berharap akan mendapat lebih banyak kolaborasi di masa akan datang,” jelasnya.

Kempen yang bermula hari ini sehingga 20 Mei 2018 itu merupakan kerjasama LTAB bersama Mix MediaWorx, agensi pengiklanan rasmi bersama Bank Baiduri, Bee Motors, D’Sunlit dan Kristal FM.

(Dari kiri) Julian Wee, Awang Zakaria dan Pengiran Azaleen semasa melancarkan perasmian kempen itu.
(Dari kiri) Julian Wee, Awang Zakaria dan Pengiran Azaleen semasa melancarkan perasmian kempen itu.
Bergambar ramai bersama wakil kedai-kedai yang menyertai.
Bergambar ramai bersama wakil kedai-kedai yang menyertai.

Kempen dibukakan kepada mana-mana penumpang yang memegang pas masuk yang sah di LTAB yang mana mereka hanya perlu mengisikan borang daripada outlet yang menyertai dan kemudian melampirkan resit pembelian mereka dan memasukkan borang yang lengkap ke dalam kotak undian di Gate 1, bersebelahan paparan kereta V40.

Di samping itu, pemegang Kad Visa Bank Baiduri juga layak untuk menggandakan peluang mereka apabila menggunakan kad mereka semasa tempoh tersebut.

Pelanggan yang kerap membuat perbelanjaan akan berpeluang untuk memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta Volvo V40 baru bernilai $ 42,000.

Kedai-kedai yang menyertai kempen berkenaan termasuk Restoran Anjung Saujana, Burger King, DST, KFC, Paloma dan Aewon Brunei.

Kempen ini terbuka kepada semua warganegara yang berusia 16 tahun ke atas dan pemenang yang di bawah umur 18 tahun pada masa undian akan dipindahkan hadiah mereka kepada ibu bapa atau penjaga yang sah.