Saturday, September 21, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    LTdL 2024: Muhammad Zawawi kembali sertai MPC

    KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Pelumba berpengalaman Muhammad Zawawi Azman menganggap kariernya kembali ‘bernyawa’ menjelang perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari 29 September hingga 6 Oktober ini.

    Muhammad Zawawi sah menyertai semula pasukan lamanya, Team Sapura Cycling (TSC) yang kini dikenali Malaysia Pro Cycling Team (MPC).

    “Sudah semestinya sebagai seorang pelumba tempatan lebih-lebih lagi beraksi di negara kita sendiri, saya mahu menaiki podium pada perlumbaan LTdL tahun ini.

    “Tidak kira menang mana-mana peringkat perlumbaan atau kategori pelumba terbaik Malaysia atau Asia, saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Muhammad Zawawi berkata dia dan rakan-rakan sepasukan sedang giat menjalani latihan fasa akhir selepas beraksi pada Tour Salalah di Oman baru-baru ini.

    Gambar fail Azman Muhammad Zawawi semasa perlumbaan berbasikal LTdL Malaysia dari Tanjung Malim ke Taiping, pada 10 April 2019. – AFP

    “Buat masa ini, segala persiapan kami bagi menghadapi LTdL berjalan dengan cukup baik dan kami sudah menyertai kira-kira empat kejohanan tahun ini dan terbaharu di Oman.

    “Sebelum itu, kami juga beraksi pada Tour de Ijen di Indonesia pada Julai lepas selain Tour Trans-Himalaya dan Tour of Hainan di China pada penghujung bulan lepas,” katanya.

    Dalam pada itu, pelumba berusia 30 tahun itu yakin persiapan pasukan menjelang perlumbaan berkenaan kini berada pada tahap yang terbaik sambil berharap momentum positif itu dapat dikekalkan.

    “Apa yang saya lihat, pasukan kami mempunyai kombinasi pelumba yang baik. Setiap pelumba sudah tahu peranan masing-masing, jadi itu akan memudahkan tugas kami nanti,” ujarnya yang bertindak sebagai pelumba super domestik.

    Pada masa sama, Muhammad Zawawi berkata dia berterima kasih kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang memberikan peluang kepadanya membarisi pasukan Malaysia pada LTdL 2023. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda