Saturday, December 21, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    LTdL 2024: Tarozzi tawan Kulai

    KULAI, 4 OKT – Pelumba Itali, Manuel Tarozzi memanfaatkan laluan landai hari ini apabila muncul juara peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Batu Pahat ke Kulai, Johor sejauh 123.4 kilometer (km), hari ini.

    Pelumba dari pasukan VF Group-Bardiani-CSF-Faizane itu yang membuat pemecahan pada satu kilometer terakhir dan diekori rapat Stefan de Bod dari pasukan EF Education-Easypost, terlebih dahulu tiba di garisan penamat dengan catatan 2 jam 28 minit 58 saat (s).

    Tempat ketiga dimenangi juara peringkat keempat dan kelima, Arvid dr Kleijn dari Tudor Pro Cycling Team yang ketinggalan 0.09s.

    “Selepas melakukan pemecahan, Bod yang mempunyai kekuatan luar biasa cuba mengejar dan mengekori rapat saya tapi pada 300 meter (m) terakhir saya tingkatkan pecutan terus ke garisan penamat,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

    Keputusan dicatatkan hari ini sekali gus menyaksikan de Kleijn kembali merampas Jersi Jingga (Raja Pecut) daripada pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli.

    Pelumba DSM-Firmenich PostNL, Max Poole kekal dengan Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) dengan catatan masa terkumpul 19:02.04s, diikuti Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (+0.14s).

    Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba BH Burgos, Mario Aparicio Munoz dengan 27 mata, diikuti rapat Poole dengan 22 mata dan ketiga pelumba Astana Qazaqstan Team, Anthon Charmig dengan 12 mata.

    Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan Jersi Putih (pelumba Terbaik Asia) dengan 19:04.21s, meninggalkan rakan sepasukan Yuma Koishi (+2.41s) manakala Keigo Kusaba dari Aisan Racing Team ketiga (+2.45s). – Bernama

    Tarozzi (tengah) memenangi Peringkat Keenam perlumbaan LTdL 2024, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda