Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    LTdL perlu lebih RM15 juta – Abdul Rashid

    KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dijangka memerlukan perbelanjaan lebih RM15 juta apabila perlumbaan edisi ke-28 akan memasuki Pulau Langkawi dan berakhir di Bintulu, Sarawak.

    Ketua Pengarah Majlis Sukan Malaysia (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding edisi tahun lepas kerana terpaksa menampung kos logistik melibatkan penerbangan ke Pulau Langkawi dan Sarawak.

    “Saya tidak boleh mendedahkan angka sebenar kerana kos agak tinggi sedikit, tetapi kita (MSN) ada bajet kita sendiri. Kadang-kadang bajet penganjuran LTdL ini boleh berubah pada bila-bila masa.

    “Kali ini perlumbaan edisi ke-28 sedikit berbeza kerana kita akan menyeberang lautan dengan mengadakan perlumbaan di Pulau Langkawi dan Sarawak. Oleh itu, bajet akan tertumpu kepada logistik dan menyebabkan peningkatan kos,” katanya pada Majlis Pengumuman Penajaan dan Kerjasama Pintar Tourism Malaysia dan Sidang Media LTdL 2024 di MSN Bukit Jalil, hari ini.

    Pada edisi lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya memperuntukkan RM8 juta, tetapi sebagai penganjur, MSN memerlukan bajet lebih besar iaitu sekitar RM15 hingga RM16 juta untuk menjayakan perlumbaan kelas dunia itu.

    Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata setakat ini penajaan bagi menganjurkan perlumbaan berprestij itu berjalan lancar kerana terdapat beberapa syarikat bakal memuktamadkan kerjasama tidak lama lagi.

    Beliau berkata buat masa ini, Tourism Malaysia bersetuju meneruskan kerjasama strategik dengan penajaan bernilai RM1 juta sekali gus menjadi pemegang jersi Polka Dot Raja Bukit. – Bernama

    Abdul Rashid (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Saidi Bundan menunjukkan jersi Polkadot Raja Bukit pada majlis pengumuman kerjasama strategik Tourism Malaysia dan Petronas Le Tour De Langkawi 2024 di Casa 4, MSN pada 26 Ogos.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda