Luahan kumpulan Caliph Buskers berkaitan isu bayaran sebelum ini menerima reaksi pelbagai pihak.
Salah satu khabar gembira yang diterima apabila penyanyi dan juga penganjur acara iaitu Sufi Rashid berhasrat mahu mengadakan konsert buat mereka.
Meskipun masih dalam perbincangan, Azmi selaku vokalis Caliph Buskers berkata ia bagaikan satu impian jadi kenyataan buat semua anggota lain.
“Ikutkan kami memang nak sangat, tapi semuanya masih dalam fasa perbincangan. Untuk ada konsert sendiri ni memang impian kami dari dahulu lagi.
“Kami sudah banyak kali berurusan dengan Sufi, terbaharu memang dia ada suarakan mahu adakan konsert buat Caliph Buskers,” katanya ketika dihubungi mStar kelmarin.
Azmi berkongsi perkara itu sebagai respons hantaran yang dimuat naik sebelum ini mengenai pihak penganjur yang memberikan tawaran harga rendah buat mereka.
Susulan itu, dia tidak menyangka ramai yang mula memberi perhatian terhadap kumpulan Caliph Buskers termasuk setiap perkongsian di media sosial.
Bagi Azmi luahan tersebut sedikit sebanyak telah membuka mata ramai mengenai kewujudan kumpulan mereka yang sudah bertapak dalam industri seni sejak sedekad lalu.
“Seronok dan bersyukur bila masyarakat sudah mula ingat kumpulan kami. Sekarang apa-apa perkongsian kami di media sosial pun sudah makin banyak tanda suka serta komen.
“Selepas kami bersuara tempoh hari, sedikit sebanyak ia membantu menaikkan kembali nama kumpulan,” jelasnya. – Agensi
