Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Luahan syukur bakal duyufurrahman

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Rezeki, jodoh, dan kematian sudah ditakdirkan oleh Allah SWT, dan akan tetap menjadi rahsiaNya.

    Begitulah juga apabila sudah tertulis rezeki sebagai duyufurrahman atau tetamu Allah, maka tiada apa-apa yang dapat menghalanginya.

    Tidak kira usia tua atau muda, sakit atau sihat, jika nama sudah dicatat sebagai tetamu Allah, maka akan sampai ke tanah suci jua.

    Ibarat rezeki yang ditentukan olehNya, walau sebesar manapun cabaran yang dihadapi, apabila ia sudah tertulis, maka rezeki itu tetap akan menjadi miliki kita sebagai makhluk yang menumpang kasih di bumi yang sementara ini.

    PENANTIAN BERAKHIR DIIRINGI JIWA KESYUKURAN

    Luahan syukur ke hadrat Ilahi tetap membasahi setiap ungkapan kata-kata insan berusia 59 tahun ini apabila diajukan perasaan terpilih menjadi tetamu Allah buat kali pertama pada tahun ini.

    Awang Aliahmad turut menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah bakal-bakal jemaah haji pada tahun ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Awang Muhammad Faishal yang akan berangkat bersama ibu, ibu saudara dan neneknya turut mengungkapkan perasaan terharu kerana impiannya untuk mengerjakan ibadah haji sejak kembali dari menunaikan umrah pada tahun 2019 bakal tercapai. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Jinab bersama Dayang Noor Ajrina turut tidak dapat menyembunyikan rasa kesyukuran mereka setelah akhirnya terpilih ke tanah suci kali ini sejak permohonan yang dibuat pada tahun 2018. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Hajah Siti Norsyahdina Sabrina ketika ditemui juga berkesempatan menyampaikan beberapa nasihat kepada para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam pada tahun ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Berkesempatan ditemui penulis semasa Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman pada 9 Mei lalu, Awang Aliahmad bin Awang Achee bersama isteri tercinta antaranya mengongsikan antara persiapan menjalani ibadah haji yang akan dilakukannya termasuklah dengan mengikuti kursus selama seminggu di salah sebuah sekolah agama di negara ini khususnya bagi mempersiapkan ilmu pengetahuan berkenaan ibadah haji.

    “Pastinya saya dan isteri memohon agar diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di tanah suci nanti.”

    “Namun selaku ibu bapa, kami turut tidak putus mendoakan agar anak-anak kami yang ditinggalkan di negara ini nanti sentiasa dalam perlindungan Allah SWT sepanjang perjalanan kami nanti,” ujarnya.

    Dalam kesempatan ini, Awang Aliahmad turut menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah bakal-bakal jemaah haji pada tahun ini.

    MEMOHON SEGALANYA DALAM JAGAAN ALLAH

    Turut berkesempatan ditemui Media Permata, Dayang Jinab binti Abdul Karim bersama anak perempuannya, Dayang Noor Ajrina binti Awang Damit yang tidak dapat menyembunyikan rasa kesyukuran mereka setelah akhirnya terpilih ke tanah suci kali ini sejak permohonan yang dibuat pada tahun 2018.

    Ketika mengimbas saranan-saranan kepada para bakal jemaah haji sebagaimana semasa menghadiri kursus-kursus yang telah dikendalikan oleh Jabatan Urusan Haji, Dayang Jinab antaranya menekankan salah satu aspek penting ialah kesihatan sebagai bakal haji melalui pemakanan yang sihat dan seimbang.

    “Sebagai golongan yang telah berumur, saya memilih beras merah serta mengambil banyak sayur-sayuran dan buah-buahan, selain banyak meminum air untuk menjaga kesihatan,” jelas beliau yang berusia 62 tahun.

    Di samping itu, Dayang Noor Ajrina yang kini berusia 38 tahun turut mengakui inilah rezeki yang tidak disangka-sangka untuk menunaikan ibadah haji bersama ahli-ahli keluarganya pada tahun ini.

    “Kami berharap semoga ibadah haji kami buat kali pertama ini berjalan dengan lancar dan dikurniakan tubuh badan yang sihat sepanjang berada di tanah suci, di samping mendapat haji yang mabrur. Insya Allah,” ujarnya tulus.

    BERUSAHA MEMBERSIHKAN JIWA RAGA

    Salah seorang bakal jemaah haji berusia 24 tahun, Awang Muhammad Faishal bin Haji Zakaria yang akan berangkat bersama ibu, ibu saudara dan neneknya turut mengungkapkan perasaan terharu kerana impiannya untuk mengerjakan ibadah haji sejak kembali dari menunaikan umrah pada tahun 2019 bakal tercapai.

    Dari segi persiapan, jelasnya salah satu yang ditekankan ialah menjaga kesihatan fizikal, iaitu menjalankan olahraga ringan, menjaga pola makan yang seimbang, dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

    “Selain itu, pembacaan dan pemahaman terhadap tata cara ibadah haji juga sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa, di samping meningkatkan keimanan dan ketakwaan dalam dirinya,” ujarnya.

    PATUHI PERATURAN DAN NASIHAT

    Pada majlis mengadap dan junjung ziarah berkenaan, Ketua Jabatan Marketing dan Event, Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB), Hajah Siti Norsyahdina Sabrina binti Haji Sallehuddin, ketika ditemui juga berkesempatan menyampaikan beberapa nasihat kepada para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.

    “Dengan adanya ilmu amali, praktikal dan rohani yang telah dibekalkan sebelum ini melalui kursus-kursus yang diungkayahkan oleh Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan syarikat-syarikat yang terpilih.”

    Begitu juga buku-buku panduan doa dan pakaian seragam serta kad pengenalan diri bagi kemudahan di sana nanti.

    “Inilah saat kemuncak untuk para jemaah haji mengamalkan apa yang telah diajarkan kepada mereka.”

    “Dengan adanya ilmu berkenaan, dapatlah para jemaah menunaikan ibadah dengan tenang, sempurna dan semoga mendapat haji yang mabrur,” tambahnya yang turut bakal mengerjakan ibadah haji bersama 15 orang pegawai pengiring haji dari DSSB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda