Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Luang masa dengan aktiviti bermanfaat

    KOREA SELATAN – Ketika daun musim luruh mula gugur dan udara semakin sejuk, awda mungkin mencari aktiviti dalaman yang unik untuk dihabiskan pada hujung minggu.

    Menikmati sayur dan buah yang tidak sempurna

    Bagi mereka yang ingin membeli-belah barangan runcit dan juga menikmati hidangan yang lazat, Hmm Market, nama yang bermaksud ‘kecacatan’ dalam bahasa Korea ialah tempat untuk dikunjungi.

    Terletak di Haebangchon di tengah Seoul, kedai yang dibuka pada September tahun lalu, memberi peluang kedua kepada sayur-sayuran dan buah-buahan ‘hodoh’ yang biasanya dibuang semasa proses pengedaran.

    Buah-buahan dan sayur-sayuran yang dipaparkan boleh dibeli secara individu. Terdapat juga rak berasingan dengan bakul yang mengandungi satu set bahan untuk membuat hidangan istimewa tertentu seperti ratatouille dan kari sayuran.

    Kedai ini juga menyediakan kedua-dua resipi Korea dan Inggeris untuk hidangan ini secara percuma. Antara buah-buahan yang dipamerkan, pengunjung juga boleh memilih yang ingin dimakan di kedai dan membawanya ke kaunter. Kemudian, bolehlah dipotong untuk dihidangkan ke meja awda.

    Antara kawasan yang terdapat di Muzium Buku Songpa. – ANN/The Korea Herald
    Para pelajar bergambar ramai bersama hasil ukiran mereka. – ANN/The Korea Herald
    Antara buah-buahan yang dipamerkan di Hmm Market yang terletak di tengah Seoul, Haebangchon. – ANN/The Korea Herald
    Kelihatan pengunjung menempa tanah liat menggunakan mesin roda tembikar di Anna Pottery. – ANN/The Korea Herald
    Di samping membeli buah-buahan untuk di bawa balik, pengunjung boleh menikmatinya di kedai. – ANN/The Korea Herald

    Kedai itu juga mengendalikan restoran. Makanan yang ditawarkan di sini juga dimasak dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang ‘hodoh’. Terdapat juga beberapa pilihan vegan seperti hidangan untuk pinggan kecil terdiri daripada biskut roti, jem epal, salad, dan nasi goreng sayuran.

    Pemilik kedai terutamanya mengesyorkan sandwic dan jenis pasta istimewanya, termasuk pasta hijau yang dibuat dengan pesto ketumbar bayam dan pasta cendawan makanan laut yang dibuat dengan tomato kering dan dill.

    Pelanggan juga boleh membeli lima jenis sos istimewa iaitu misolime aioli, pesto ketumbar bayam, tofu, romesco dan aioli cendawan tiram yang turut digunakan dalam makanan yang dijual di kedai.

    Dari hari Selasa hingga Jumaat restoran dibuka dari tengah hari hingga 9 malam. Dari jam 4 petang hingga 5 petang adalah waktu rehat mereka. Selain itu, pada hujung minggu, kafe dibuka dari tengah hari hingga 10 malam tanpa ada waktu rehat dan ditutup pada hari Isnin.

    Pengalaman membuat tembikar yang unik

    Jika awda ingin mengalami sekilas tradisi tembikar Korea, Anna Pottery patut dikunjungi.

    Studio ini terletak tiga hingga empat minit berjalan kaki dari Pintu Keluar No. 2 Stesen Guui di Laluan Kereta Api Bawah Tanah No. 2, lalu membelok kiri dari pintu keluar dan berjalan menyusuri lorong kecil dan tidak lama itu awda akan melihat cawangan Tous Les Jours di tingkat bawah. Anna Pottery terletak di tingkat tiga dalam bangunan yang sama.

    Studio yang selesa mengalu-alukan pengunjung dengan lampu berwarna jingga yang tenang dan paparan karya seni, sejumlah tiga kelas sehari untuk membuat tembikar tangan, menempa tembikar menggunakan roda, dan kraf kaca ditawarkan kepada pengunjung.

    “Membuat mangkuk atau pinggan dengan roda tembikar sangat popular. Kerana guru kami akan cuba meluangkan masa dan membimbing pelajar seorang demi seorang.

    “Pengunjung boleh menikmati pengalaman membuat tembikar sepenuhnya,” kata Park Anna, Ketua Pegawai Eksekutif Anna Pottery kepada The Korea Herald.

    Para pengunjung boleh membuat tempahan melalui Naver Booking. Tetapi Park berkata menghubunginya melalui telefon akan menjadi lebih mudah kerana pelawat boleh mengatur tempahan mereka dengan bebas dan memilih masa terbaik untuk melawat studio tembikar. Nombor telefon Park boleh didapati di akaun Instagram rasmi studio.

    “Walaupun Anna Pottery tidak mempunyai pengajar bahasa Inggeris, guru kami sudah tentu boleh berkomunikasi dengan pelajar luar negara dengan arahan asas.

    “Ramai pelawat asing berpuas hati dan tidak merasai kesukaran untuk menikmati program hands-on kami,” tambah Park.

    Pengunjung boleh membuat dua karya seni dalam setiap kelas. Manakala kursus seni bina tangan dan kelas roda tembikar masing-masing berharga 50,000 won dan 60,000 won. Kedua-dua kelas ditawarkan dengan harga 40,000 won untuk kanak-kanak. Kraf kaca berharga 60,000 won untuk semua peringkat umur.

    Muzium Buku Songpa untuk pencinta buku

    Muzium Buku Songpa ialah muzium awam bertemakan buku pertama yang dibuka pada 2019.

    Terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari Pintu Keluar No. 4 Stesen Songpa ke arah Sekolah Rendah Haenuri.

    Muzium ini menyimpan lebih daripada 13,000 buah buku dan 8,000 peninggalan berkaitan buku dalam koleksinya. Dewan Eoullim di tingkat satu ialah tangga yang menghubungkan tingkat satu dan dua. Buku ada di mana-mana sahaja, jadi jangan teragak-agak untuk mengambilnya dan berehat di salah satu sofa yang selesa.

    Di tingkat dua ialah Perpustakaan Media dan Dewan Pameran. Perpustakaan Media dilengkapi dengan komputer, DVD dan iPad yang awda boleh menikmati kandungan digital yang berbeza seperti e-buku, filem dan muzik secara bebas. Majalah mengenai topik juga disediakan.

    Pameran utama terdiri daripada tiga bahagian iaitu Relish the Culture, Communication dan Creation.

    Bahagian pertama menunjukkan budaya membaca semasa Dinasti Joseon, bagaimana golongan bangsawan yang dipanggil ‘yangban’ membaca dan mengumpul buku, koleksi mesti dibaca dan tokoh pembaca terkenal seperti Raja Sejong.

    Bahagian kedua memaparkan sejarah budaya membaca selama lebih 100 tahun dari tahun 1910 hingga kini. Buku penjualan terbaik Korea melalui generasi yang berbeza dipamerkan.

    Bahagian terakhir menyerlahkan proses bagaimana buku dicipta dengan bilik khas yang menampilkan konsep berbeza seperti penulis, penerbit, penyunting dan pereka buku.

    Awda boleh menulis cerita awda sendiri pada kertas manuskrip berbentuk segi empat sama, menyunting manuskrip dan membuat kulit buku.

    Di penghujung pameran, mesin cetak dipamerkan dan awda boleh membuat penanda buku dengan mencetak dua puisi pilihan awda.

    Muzium ini dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang dari hari Selasa hingga Ahad dan kemasukan adalah percuma. – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda