Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Luang masa PKP 3.0 Hasilkan karya kreatif

    KUALA TERENGGANU – Seorang pelukis memanfaatkan masanya yang terluang ketika ini memandangkan bengkelnya tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dengan menghasilkan lukisan mural yang kreatif dan unik.

    Mohd Rozamil Mohd Yatim, 34, menghiasi sebahagian dinding simen di bengkel miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, di sini dengan lukisan yang memaparkan sebuah rumah kayu klasik dengan latar belakang perkampungan tradisional tahun 1980an.

    “Idea ini datang secara spontan kerana saya teringat kenangan manis ketika berada di rumah kayu bersama nenek satu ketika dahulu. Tak sangka pula ramai yang suka dan kagum dengan hasilnya setelah saya muat naik di Facebook.

    “Mungkin kerana lukisan rumah kayu ini menggamit kenangan mereka waktu kecil dahulu, lagipun kebanyakan rumah sekarang ini diperbuat dari simen, tentulah lukisan ini dapat mengubat kerinduan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

    Lukisan mural di dinding bengkel berkeluasan sembilan meter lebar dan tiga meter tinggi itu berjaya menarik perhatian warganet kerana selain rumah kayu, ia turut  memaparkan suasana zaman dahulu dengan tandas pintu zink, ampaian, pokok kelapa, burung, ayam ternakan, kain batik dan tempayan di tepi tangga rumah.

    Beliau yang memanfaatkan masa lapang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjaya menyiapkan lukisan mural itu dalam tempoh seminggu dengan menggunakan cat warna asas lukisan iaitu hitam, putih, coklat dan hijau. – Bernama
    Mohd Rozamil Mohd Yatim, 34, (kanan) bersama anak-anaknya Rassyaq Rayyan, 10, (dua, kiri) dan Nor Rayysya Rayyana, 8, bergambar dengan lukisan mural sebuah rumah kayu klasik dengan latar belakang perkampungan tradisional tahun 1980an pada dinding simen bengkel miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering. – Bernama

    Mohd Rozamil Mohd Yatim, 34, melakukan kerja-kerja akhir melukis mural rumah kayu klasik dengan latar belakang perkampungan tradisional. – Bernama
    Idea bapa dua anak itu tercetus secara spontan kerana teringat kenangan manis sewaktu tinggal di rumah kayu bersama neneknya suatu ketika dahulu. -Bernama

    Mohd Rozamil berkata beliau mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan mural dinding itu menggunakan warna asas iaitu hitam, putih, coklat dan hijau.

    “Kos hanya RM85 sahaja kerana saya banyak gunakan peralatan dan cat sedia ada. Lukisan ini dijangka mampu bertahan untuk tempoh lima tahun. Ramai juga yang mahu datang ke sini untuk bergambar kenangan selepas tamat tempoh PKP 3.0 nanti, termasuk bakal pengantin.

    “Selain itu, saya turut terima tawaran untuk lukisan mural dinding di Kuala Lumpur selepas lukisan rumah kayu ini tular…. tengok nanti jika sesuai dengan harga mungkin saya terima,” katanya yang mula menjadi pelukis sepenuh masa sejak tahun 2005.

    Bapa kepada dua anak itu berkata beliau bersyukur kerana karya terbaharu itu mampu menonjolkan lagi bakatnya sekali gus menjadi ‘iklan’ perniagaan di media sosial.

    Tambahnya, lukisan dinding itu hanyalah sekadar mengisi masa lapang sahaja kerana beliau lebih gemar menjadikan lukisan teknik ‘air brush’ di topi keledar, kereta dan motosikal sebagai sumber pendapatan utama perniagaannya.

     Mohd Rozamil berkata hasil karyanya sebelum ini banyak ditempah orang kenamaan, peminat sukan permotoran dan sukan lumba kuda, termasuk Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Malah beliau pernah membantu mengumpul dana tabung COVID-19 melalui sebahagian keuntungan hasil jualan lukisan potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di topi keledar pada tahun lepas.

    “Harapan saya pandemik COVID-19 cepat berakhir agar saya boleh meneruskan perniagaan seperti biasa dan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan melalui bakat seni yang ada,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda