TRZEBINIA, POLAND – Dua dekad selepas lombong batu arang tempatan ditutup, penduduk di bandar selatan Poland hidup dalam ketakutan bahawa tanah akan runtuh di tempat kediaman mereka selepas 20 lubang benam muncul dua tahun lalu.
Lima kawah telah muncul tahun ini di kawasan Trzebinia. Lima bulan lalu, sebuah lubang besar ‘menelan’ kubur di tanah perkuburan.
“Tiada siapa yang tahu di mana yang seterusnya akan terjejas. Kami ketika ini duduk di atas bom jangka yang berdetik. Orang ramai takut,” kata Mateusz Krol, seorang ketua masyarakat tempatan dari kejiranan Siersza yang paling teruk dilanda.
“Orang ramai bimbang bahawa lubang benam akan muncul bukan sahaja di sebelah rumah mereka, tetapi betul-betul di bawahnya. Mereka mengelak jalan-jalan tertentu, bimbang mereka mungkin terjatuh,” kata pakar IT itu kepada AFP.
Penghadang keselamatan telah dipasang di sekitar lubang selebar 10 meter (33 kaki), sedalam lima meter yang muncul bulan ini di padang bola sepak yang dilitupi salji di bandar itu.
Taman komuniti tempatan telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan berhubung kebimbangan mengenai kestabilan tanah.
“Tiada sesiapa yang maut atau cedera setakat ini. Rumah tidak rosak,” kata anggota bomba tempatan, Piotr Bebenek, tetapi memberi amaran bahawa lubang tersebut telah menjadi lebih teruk sejak tahun lalu.
Lombong tempatan, yang ditutup pada 2001, telah dijadikan muzium.
Kerangka utamanya yang berkarat kekal bersama rangkaian telaga dan terowong bawah tanah pada akar lubang benam.
Air bawah tanah telah membanjiri terowong, menjejaskan dinding-dindingnya kerana ia terus meningkat dan menyebabkan tanah runtuh.
“Kesilapan terbesar ialah menutup lombong itu selepas ia beroperasi dengan baik selama 138 tahun,” kata Jozef Dziedzic, seorang pelombong bersara.
Poland telah lama bergantung kepada batu arang untuk penggunaan tenaganya.
Walaupun usaha telah dibuat untuk mempelbagaikan dengan kira-kira 50 lombong ditutup sejak 1990, negara itu masih bergantung kepada apa yang dipanggil ‘emas hitam’.
Poland telah mengimport arang batu dari seluruh dunia sejak Eropah mengenakan sekatan ke atas bekalan dari Rusia berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Pakar telah menggesa penduduk untuk mengosongkan Trzebinia, tetapi pihak berkuasa telah merayu untuk bertenang.
“Sudah tentu ada risiko, dan kita semua menyedarinya, tetapi buat masa ini, tiada sebab untuk pergi,” kata Mariusz Tomalik, jurucakap SRK, institusi negeri yang menguruskan lombong tertutup.
Lubang benam di tanah perkuburan itu meninggalkan kawah selebar 20 meter, sedalam 10 meter yang menelan puluhan kubur batu dan sekitar 60 mayat.
“Orang ramai trauma,” kata Dziedzic.
Selepas pakar menolak kemungkinan untuk menggali mayat, lubang itu hanya diisi.
Dua lubang baharu muncul pada bulan Disember hanya beberapa meter dari rumah seseorang.
Pekerja sejak itu telah menggerudi untuk memeriksa sama ada terdapat poket udara dan air lain yang boleh me-ngancam struktur rumah.
Setiap kali ditemui, campuran pasir dan simen disuntik ke dalam untuk menstabilkan tanah.
SRK akan mengeluarkan laporan tidak lama lagi mengenai lubang benam itu, yang telah menjejaskan hampir 300 hektar tanah.
Walaupun berisiko, penduduk tetap tinggal.
“Kami telah menghabiskan seluruh hidup kami di sini, kami mempunyai rumah dan keluarga kami. Bukan mudah untuk meninggalkannya, untuk memulakan semula,” kata Dziedzic. – AFP