PARIS, 11 APRIL – Menurut satu kajian hari ini, satu lubang gelap atau lohong hitam gergasi di tengah-tengah sebuah galaksi dalam buruj Virgo telah muncul dengan memancarkan sinaran X yang kuat secara berkala dan perkara ini merupakan satu fenomena yang mengejutkan para saintis.
Sebelum ini, para ahli astronomi tidak menumpu perhatian kepada galaksi SDSS1335+0728, yang terletak 300 juta tahun cahaya dari Bumi.
Namun pada 2019, galaksi itu tiba-tiba bersinar terang sehingga menarik perhatian beberapa teleskop.
Kemudian pada Februari tahun lalu, ahli astronomi dari Chile mula mengesan letusan sinaran X yang berlaku secara berkala dari arah galaksi tersebut.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Astronomy, ini merupakan tanda lohong hitam yang selama ini ‘tidur’ telah kembali aktif semula.

Kebanyakan galaksi, termasuk Bima Sakti (Milky Way) yang dipercayai mempunyai lohong hitam besar dan pusat yang berperanan seperti pusat tarikan graviti utama.
Lohong hitam ini mampu menyedut apa sahaja yang menghampirinya, termasuk cahaya, menjadikannya objek paling misteri dan berkuasa di alam semesta.
Jika terdapat bintang yang bernasib malang menghampiri lohong hitam itu dengan jarak yang terlalu dekat, bintang tersebut akan dihancurkan. Sisa-sisa bintang itu kemudiannya membentuk aliran bahan yang berputar secara pantas, mengelilingi lohong hitam, membentuk cakera akresi yang akhirnya akan diserap sepenuhnya.
Namun, lohong hitam itu kini berada dalam keadaan tidak aktif.
Menurut sorang ahli astronomi, Lorena Hernandez-Garcia dari Universiti Valparaiso, Chile, “Fenomena yang jarang berlaku ini memberikan peluang kepada para ahli astronomi untuk memerhati tingkah laku lohong hitam secara langsung.”
Menurut Erwan Quintin, “Kita memerlukan lebih banyak pemerhatian bagi memahami apa yang sedang berlaku.” – AFP