Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lubnan batalkan rancangan naik taraf lapangan terbang

    BEIRUT, 30 MAC – Menteri pengangkutan sementara Lubnan hari ini berkata kontrak untuk terminal baharu di lapangan terbang utama negara itu dibatalkan, berikutan kritikan bahawa tiada bidaan awam dibuka untuk projek bernilai AS$122 juta itu.

    Kerajaan Lubnan minggu lalu mengumumkan rancangan untuk membina terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri di Beirut dan berkata ia akan dikendalikan oleh daa International, sebuah syarikat lapangan terbang milik separuh kerajaan terkemuka di Ireland, apabila ia siap dalam tempoh empat tahun.

    Projek yang lama ditunggu-tunggu itu adalah pengembangan pertama satu-satunya lapangan terbang antarabangsa Lubnan sejak 1998 dibuat ketika negara itu menghadapi krisis ekonomi dan kewangan yang paling teruk.

    Pembatalan itu muncul seminggu selepas projek itu diumumkan dan mencetuskan aliran kritikan daripada media berhubung pemberian kontrak kepada syarikat antarabangsa tanpa mengadakan tender awam.

    Lapangan terbang itu telah beroperasi pada kapasiti penuh, berkhidmat kepada lebih 8 juta penumpang setahun.

    Lubnan sedang mengalami krisis ekonomi dan kewangan terburuk dalam sejarah modennya, berakar umbi dalam berdekad-dekad rasuah dan salah urus oleh kelas politik negara itu.

    Pakar dan pengkritik telah mengecam pemerintah Lubnan kerana kekurangan ketelusan dan mensia-siakan wang awam dengan memberikan kontrak pembangunan berlebihan kepada ahli perniagaan dalam kalangan mereka sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

    Krisis ekonomi Lubnan yang bermula pada Oktober 2019 telah menyebabkan tiga perempat daripada 6 juta penduduk negara itu, termasuk 1 juta pelarian Syria, berada dalam kemiskinan. – AP

    Gambar fail pada 29 Mac 2018, sebuah pesawat Airbus A380 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri di Beirut, Lubnan, yang membatalkan rancangan untuk menaik taraf lapangan terbang tersebut berikutan tiada bidaan awam diadakan untuk projek $122 juta itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda