JAKARTA, 11 OKT – Indonesia hari ini mengesahkan dua angggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) negara itu cedera dalam serangan Israel di Lubnan.
UNIFIL berkata tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat mereka di selatan Lubnan kelmarin, mencederakan dua anggota, di mana ia telah mengakibatkan kecaman.
Israel berkata ia menyasarkan pejuang Hizbullah berhampiran pos Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam operasi yang dilakukan selepas UNIFIL itu menolak tuntutan Israel untuk berpindah.
“Dalam serangan ke atas menara di Nakura, dua anggota cedera, dan mereka dari Indonesia,” kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, kedua-dua anggota pasukan itu mengalami kecederaan ringan dan berada di hospital untuk rawatan lanjut.
“Indonesia mengecam sekeras-kerasnya terhadap serangan itu,” katanya.
“Menyerang kakitangan dan harta benda PBB adalah pelanggaran besar Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa,” ujarnya lagi.
Beliau menyeru semua pihak agar memberi penghormatan terhadap wilayah PBB pada setiap masa dan dalam semua keadaan. – AFP