Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lubnan, Israel runding sempadan laut

    NAQURA, LUBNAN, 14 OKT – Lubnan dan Israel, yang masih berperang secara teknikal, memulakan rundingan yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) hari ini untuk menyelesaikan perbalahan sempadan laut dan membuka laluan kepada usaha mencari gali minyak dan gas.

    Dalam satu kenyataan bersama, PBB dan AS berkata rundingan adalah ‘produktif’ dan wakil telah ‘mengesahkan’ komitmen mereka untuk meneruskan rundingan pada akhir bulan ini.

    Berikutan diplomasi AS bertahun-tahun lamanya, Lubnan dan Israel berkata pada bulan ini mereka telah bersetuju untuk memulakan rundingan yang dibroker PBB, dalam apa yang dialu-alukan oleh Washington sebagai perjanjian ‘bersejarah.’

    Rundingan, diadakan di pangkalan tentera pengaman PBB UNIFIL di bandar sempadan Lubnan Naqura, diadakan beberapa minggu selepas Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu menjadi negara Arab pertama yang menjalin hubungan dengan Israel sejak Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994.

    Rundingan Naqura, yang akan menumpu pada sempadan laut yang dipertikaikan, diadakan pada masa sensitif tatkala Lubnan, dibelenggu pelbagai krisis, berharap dapat meneruskan usaha mencari gali minyak dan gas di Mediterranean yang juga dituntut oleh Israel.

    Rundingan bermula pada pukul 10:30 pagi, dengan jalan di kawasan itu disekat oleh UNIFIL dan tentera Lubnan dan helikopter terbang di atas. – AFP

    Kapal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kelihatan di kawasan selatan Naqura, sempadan dengan Israel kelmarin. Lubnan dan Israel memulakan rundingan tajaan PBB dan AS untuk menyelesai perbalahan sempadan laut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda