BEIRUT, 25 OGOS – Lubnan mengecam ‘serangan’ Israel selepas dua dron hari ini menyasarkan kubu kuat kumpulan Syiah Hizbullah yang disokong Iran di Beirut, memberi amaran ketegangan serantau selanjutnya.
Hizbullah yang dianggap organisasi pengganas oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS), adalah pemain politik utama di Lubnan dan penyokong penting rejim Damsyik di Syria yang dilanda perang.
Insiden awal pagi di selatan Beirut itu muncul beberapa jam selepas Israel berkata ia telah melancarkan serangan udara di negara jiran Syria untuk menghalang pasukan Iran daripada melancarkan serangan ke atas negeri Yahudi.
Pemantau perang berkata serangan udara di tenggara Damsyik telah membunuh dua anggota Hizbullah dan seorang warga Iran dalam kalangan lima pejuang.
Askar Lubnan berkata ‘dua dron kepunyaan tentera Israel telah mencabul ruang udara Lubnan…berhubung sub bandar selatan Beirut,” sebuah kubu kuat Hizbullah di bandar itu.

“Yang pertama jatuh sementara yang kedua meletup di udara mengakibatkan kemusnahan material,” katanya.
Ditanya oleh AFP, askar Israel enggan untuk memberi komen atas dakwaan Lubnan tentang dron tersebut. Jurucakap Hizbullah, Mohamed Afif pada awalnya menegaskan gerakannya tidak menembak jatuh dua dron berkenaan namun berkata salah satunya telah memusnahkan pusat media Hizbullah.
“Dron pertama jatuh tanpa mengakibatkan kemusnahan sementara yang kedua yang dipenuhi bahan letupan telah meledak mengakibatkan kemusnahan besar kepada pusat media,” kata Afif.
“Dron pertama tidak meletup dan ia kini berada di bawah kawalan Hizbullah yang sedang menganalisisnya.”
Koresponden AFP menyaksikan pasukan keselamatan dikerahkan ke kawasan kejadian. – AFP