BEIRUT, 30 MEI – Lubnan melaksanakan program vaksinasi ‘maraton’ ke atas 10,000 penduduknya semalam dalam usaha meningkatkan kadar inokulasi di negara yang dilanda krisis itu.
Menurut Kementerian Kesihatan, menjelang 6:30 petang waktu tempatan, seramai 10,452 orang sudah menerima suntikan vaksin AstraZeneca di seluruh negara.
Orang ramai dibenarkan memasuki pusat vaksinasi tanpa janji temu sejak awal pagi semalam.
Beirut dan beberapa kawasan di negara itu dikecualikan daripada inisiatif berkenaan tetapi Menteri Kesihatan, Hamad Hassan berkata, ada perancangan untuk program kedua seumpama itu dilaksanakan dengan meliputi lebih banyak kawasan.
“Ada wilayah yang tidak mahu menyertai program ini tetapi selepas pengalaman memberangsangkan hari ini, semua pihak dijangka mengambil bahagian,” katanya.
Lubnan, yang terperangkap dalam krisis ekonomi terburuk sejak perang saudara 1975-1990, mencatatkan 540,132 kes dengan 7,718 kematian, sejak pandemik bermula tahun lalu.
Negara dengan populasi lebih enam juta orang itu memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin kepada lebih 700,000 penduduk.
Ketua hospital utama Lubnan, Firass Abiad berkata program maraton itu adalah satu kejayaan besar buat negara.
Beliau berkata, 170,000 dos vaksin Pfizer dijangka tiba di negara itu hari ini. – AFP