TABARJA – Para penyelam Lubnan meneroka di bawah permukaan air dan kelihatan tangki skuba di belakang mereka serta jaring di tangan mereka. Apa yang pasti, penyelam ini bukanlah untuk meneroka kehidupan marin tetapi mencari sampah yang dibuang ke dalam laut. Kumpulan penyelam itu berusaha untuk melakukan pembersihan di bawah permukaan air dan merupakan salah satu inisiatif yang dikemukakan oleh orang ramai kepada pihak tertentu. Dorongan ini berlaku disebabkan oleh tindak balas pihak tersebut terhadap kegagalan pihak kerajaan untuk menangani krisis sampah yang sudah lama.
Kawasan selaman itu dilakukan di luar bandar Tabarja iaitu 25 kilometer di utara Beirut dan kawasan itu terbukti di mana para penyelam telah berhasil membawa jaring yang penuh dengan plastik dan botol kaca, minuman berkarat, tin minuman dan juga tayar. “Apa yang kami lihat itu sebenarnya membuatkan kami bertambah sakit hati,” kata Chrisitian Nader, seorang pelajar berusia 19 tahun, yang telah melakukan aktiviti selaman selama lima tahun.
Acara proses pembersihan di dalam air itu dianjurkan oleh Live Love Beirut, sekumpulan pekerja Lubnan untuk mempromosikan imej positif negara itu dan dianggarkan sekitar 100 penyelam telah menyertai pembersihan itu yang merangkumi lapan tapak di seluruh Lubnan selama dua hari.
“Ia merupakan satu perkara sedih kerana ini adalah laut kita, perlu ada kempen kesedaran dan pihak kerajaan perlu membantu untuk membersihkan lagi negara ini,” tambah Nader lagi kepada media.
Namun pihak kerajaan Lubnan telah membuktikan secara bersiri bahawa mereka tidak menangani krisis sampah negara yang mana telah mencapai proporsi bencana pada musim panas pada tahun 2015.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M4-Lebanon-2_301117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M4-Lebanon-1_301117.jpg)
Gunung-gunung sampah tertumpu di kawasan jalan-jalan Beirut dan sekitarnya selepas tempat pembuangan sampah terbesar negara itu ditutup. Tapak itu sebenarnya sudah lama ingin ditutup dan pihak kerajaan telah berjanji untuk mencari alternatif lain sebelum menutup tapak berkenaan namun gagal. Apa yang pasti, Lubnan tidak ada tempat bagi pengumpul sampah untuk menghantar sampah yang dihasilkan oleh dua juta penduduk Beirut dan sekitarnya. Pakar-pakar telah memberi amaran kepada senario sampah itu akan berterusan jika pihak kerajaan masih gagal untuk mengamalkan strategi pengurusan sisa sampah dengan lebih komprehensif, walaupun negara itu hanya menghasilkan sekitar 6,000 tan sampah sehari.
Tidak ada perancangan untuk masa depan
Sebagai satu tindak balas kepada krisis yang berlaku pada tahun 2015 dan demonstrasi besar-besaran yang di provokasi, pihak kerajaan Lubnan pada bulan Mac 2016 telah meluluskan pelan sementara untuk membuka semula dua tapak pembuangan sampah lama di kawasan Beirut. “Pihak kerajaan mula berfikir secara serius untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan dan mula merencana satu strategi walaupun ia dilakukan secara perlahan,” kata Lama Dashour, ketua perunding alam sekitar Ecocentra.
Dana Kesatuan Eropah telah membantu membayar beberapa kemudahan untuk memproses sampah di Lubnan namun masih terdapat lebih daripada 900 lokasi penyimpanan sampah tanpa izin di seluruh negara itu.
“Pihak kerajaan seharusnya terlebih dahulu mempunyai strategi,” kata Farouk Merhebi, pakar pengurusan sisa sampah di Lubnan.
“Pada tahun 1997, ia merupakan satu perancangan kecemasan dan pada hari ini kita berada di tahun 2017 malah kita masih berada dalam pelan kecemasan jadi kita perlu bertindak balas kerana kita tidak merancang untuk masa depan,” kata Farouk kepada media. Farouk turut menambah bahawa kegagalan untuk menghasilkan strategi yang betul mempunyai akibat yang buruk.
Gunung sampah berada di tepi laut
Pihak kerajaan melaporkan sedang melakukan kajian sebuah pelan yang akan berusaha untuk mengurangkan sisa sampah sekali gus meningkatkan lagi fungsi kitar semula. Syarikat Cedar Environmental, Ziad Abi Chaker telah berusaha untuk memajukan proses kitar semula terhadap sampah-sampah di negara itu.
Pada tahun 1990-an, firma Ziad telah menjalankan sekitar lapan pusat pengasingan sampah di Lubnan, termasuk sebuah di kawasan hutan rimba di kawasan gunung Beit Meri, Lubnan.
Di kawasan bandar Sidon di tepi pantai, kelihatan gunung sampah yang berbau telah muncul di kawasan itu walaupun terdapat kemudahan pengurusan sisa sampah yang baru.
Gunung sampah itu terdiri daripada apa yang dikenali sebagai ‘Sisa-Sisa’ yang tidak boleh dikitar semula atau dikompos serta biasanya harus diletakkan di tapak pelupusan sanitari.
Perbandaran mengatakan bahawa ia merancang untuk membina tapak pelupusan untuk menangani gunung sampah tersebut.
Dalam waktu yang sama, para penduduk rata-rata merasa bimbang berikutan gunung sampah itu berada berdekatan dengan laut, membuatkan para nelayan agak sedikit sukar untuk memperolehi ikan yang banyak disebabkan persekitaran sampah itu yang tercemar dan membawa kerosakan kepada sekelilingnya. – AFP