Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lufya akui hati belum terbuka cari pengganti

    Dua tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, pelakon Lufya Omar mengakui dia masih belum terbuka hati untuk mencari pengganti teman hidup.

    Selain itu, dia mengakui bahagia melalui kehidupan sendiri, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar berkata fokus utamanya kini hanya perniagaan dan anak perempuannya iaitu Laana Haura.

    Lufya juga memberitahu dia tidak trauma dengan kegagalan perkahwinan terdahulu, malah anaknya juga menggalakkan dirinya berkahwin.

    “Saya belum terbuka hati… bukan sebab trauma tetapi sebab saya rasa kehidupan sekarang lebih bahagia. Sebab saya ada perusahaan bakeri dan sibuk dengan perniagaan tersebut.

    “Tambahan pula, saya gembira jalani kehidupan bersama anak saya. Disebabkan seronok bersama anak dan sibuk berniaga, saya tak rasa pun kesunyian.

    Lufya lebih bahagia jalani kehidupan sekarang bersama anak perempuannya. – Agensi

    “Ikutkan anak memang galakkan saya berkahwin, setiap hari bertanya bila nak cari ‘new papa’. Apa-apa pun saya berserah pada Allah SWT. Doa yang terbaik untuk kehidupan saya,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, pelakon berusia 37 tahun ini juga meluahkan rasa syukur apabila berat badannya berjaya diturunkan sebanyak 25 kilogram dalam masa enam bulan.

    Menurut Lufya, penurunan berat badan itu juga disebabkan pembedahan bariatrik yang dilakukan pada November tahun lalu selepas mendapatkan nasihat daripada pakar bedah bariatik iaitu Dr Mustafa Mohamed Taher.

    “Alhamdulillah, dalam masa enam bulan saya berjaya turunkan berat dari 85 kilogram kepada 60 kilogram. Saya dah boleh kawal pemakanan dan jadi lebih mudah untuk turun berat.

    “Bila nak solat, badan jadi ringan berbanding kalau sebelum ini, badan berat. Mahu angkat badan sendiri pun susah. Buat kerja jadi mengah dan diserang asma yang sangat teruk.

    “Jadi, saya jumpa Dr Mustafa dan dia cadangkan untuk buat bariatrik atas faktor kesihatan. Bila dah turun berat macam zaman anak dara ini, memang rasa badan ringan,” ujarnya.

    Untuk rekod, Lufya pernah mendirikan rumah tangga dengan Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia empat tahun.

    Bagaimanapun Lufya dan Hafiz yang merupakan seorang doktor bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda