Monday, November 4, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lufya nafi bekas suami cuba culik anak

    Penyanyi dan pelakon, Lufya, 37, menafikan bekas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum terbabit dalam insiden pergelutan dan memukulnya dalam cubaan menculik anak, Laana Haura, 5, di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Ahad lalu.

    Sebaliknya, Lufya menegaskan, pelakunya membabitkan seorang lelaki berbadan besar yang tidak dikenali yang memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya.

    “Lelaki itu bukan bekas suami seperti tuduhan warganet. Ia perbuatan lelaki asing yang saya tidak kenal.

    “Ada warganet yang menganggap keterangan gambar yang ditulis dengan menyebut ‘lelaki dayus’ ketika mendedahkan insiden berlaku dalam Instagram (IG) merujuk kepada bekas suami.

    “Itu tidak benar sama sekali. Bagi saya, mana-mana lelaki yang memukul wanita adalah dayus.

    Lufya nafi berdrama kerana melengahkan urusan membuat laporan polis disebabkan masih dalam rawatan di hospital. – Agensi

    “Saya memang tidak tahu siapa pelakunya. Saya mohon jangan babitkan bekas suami, biar polis buat siasatan,” katanya kepada media.

    Lufya berkata, dia masih trauma selepas berdepan detik cemas dipukul pada bahagian kepala dan badan dengan kayu, malah, sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara.

    “Tiada istilah saya cuba buat drama atau mengada-adakan cerita kerana melengahkan urusan membuat laporan polis. Ini soal nyawa, bukan boleh diperjudikan.

    “Secara jujur, saya dan anak masih dalam keadaan trauma, malah, masih dalam rawatan di hospital. Jadi, saya perlu mengambil masa bertenang, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    “Saya dan anak ke balai polis selepas selesai rawatan di hospital, pagi tadi. Secara kebetulan, tiada ramai orang, jadi kurang sedikit rasa trauma.

    “Setakat ini, saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

    Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar berkata, niatnya berkongsi insiden berkenan dalam laman sosial sebagai langkah berhati-hati, terutama golongan wanita yang mempunyai anak kecil sepertinya.

    “Saya memang risau dengan komuniti masyarakat di Damansara. Sebab itu, saya beranikan diri mendedahkan insiden ini, walaupun saya masih tebal dengan perasaan trauma.

    “Difahamkan, berlaku kejadian sama sebelum insiden membabitkan saya,” katanya.

    Terdahulu, Lufya mendedahkan dirinya mengalami kecederaan agak teruk apabila dipukul pada bahagian kepala dan badan selepas bergelut dengan seorang lelaki yang didakwa cuba melarikan anaknya dalam kejadian baru-baru ini.

    “Selama ini, saya melihat babak atau aksi ganas dalam kaca televisyen dan pawagam.

    “Namun, saya menempuhnya sendiri, dua hari lalu. Lelaki ini memukul saya dengan kayu pada bahagian kepala dan badan menyebabkan saya alami kecederaan agak teruk.

    “Syukur, saya dan anak selamat. Ketika kejadian, Laana sempat menjerit meminta tolong, namun, tiada sesiapa di tempat kejadian dapat membantu.

    “Nasib baik, saya pernah belajar bertinju, jadi boleh mempertahankan diri apabila berlaku situasi tak terduga ini.

    “Saya sempat menendang muka dan menumbuk alat sulit lelaki ini, sebelum berjaya menyelamatkan diri,” dakwa Lufya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda