EAST RUTHERFORD, 9 JULAI – Jurulatih Paris Saint-Germain, Luis Enrique menyifatkan pertembungan separuh akhir Piala Dunia Kelab esok pagi antara juara Eropah dan Real Madrid sebagai ‘istimewa’ tetapi enggan menjawab soalan mengenai mengenai pertemuan semula dengan Kylian Mbappe.
“Bermain menentang Real Madrid sentiasa satu perlawanan yang istimewa,” kata jurulatih PSG Sepanyol semasa sidang media di Stadium MetLife .”Kami gembira dapat bermain dalam perlawanan seperti ini, bermakna kami telah melakukan tugas yang baik sehingga kini.”
PSG datang ke Amerika Syarikat untuk kejohanan berkenaan selepas memenangi Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama, sejurus selepas perpindahan Mbappe ke Real Madrid.
Luis Enrique pernah melatih Mbappe semasa kempen terakhirnya di Paris, semasa kapten Perancis mula diketepikan dari pasukan kerana enggan menandatangani kontrak baharu dan kemudian jarang diturunkan selepas umumkan perpindahannya.
“Apa yang boleh saya katakan ialah ia telah berlalu,” kata Luis Enrique mengenai hubungannya dengan Mbappe.
“Kami sangat hampir untuk bermain satu lagi perlawanan akhir dan itu adalah motivasi sebenar,” tambah jurulatih yang kehilangan gandingan pertahanan Willian Pacho dan Lucas Hernandez selepas kedua-duanya dibuang padang semasa mementang Bayern Munich di peringkat suku akhir.
Sementara PSG sedang berusaha untuk menambah trofi, Piala Dunia Kelab menandakan permulaan era baharu untuk Real di bawah jurulatih baharu, Xabi Alonso.
“Saya rasa amat sukar untuk menganalisis Real Madrid kerana Xabi Alonso baru memulakan tugasnya di sana,” kata Luis Enrique. “Bagi saya ia sentiasa menyeronokkan untuk bermain menentang Real Madrid dan ia akan sentiasa begitu. Mereka adalah kelab yang paling dihormati di dunia dan Xabi mempunyai segala yang diperlukan untuk menyahut cabaran ini.”
Pemenang akan mara ke perlawanan akhir Ahad nanti bertemu Chelsea yang menunggu selepas tumpaskan Fluminense 2-0 awal pagi tadi. – AFP
