Wednesday, April 16, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Luka Modric jadi pemilik bersama kelab Swansea

    LONDON, 15 APRIL – Pemain tengah Real Madrid dan Croatia, Luka Modric telah menyertai Swansea sebagai pelabur dan pemilik bersama, menurut kenyataan dari kelab berkenaan kelmarin.

    Swansea tidak mendedahkan berapa banyak pelaburan oleh Modric, tetapi dia melahirkan rasa teruja dengan peluang untuk menggunakan pengetahuannya dalam membantu kelab Wales yang sedang bermain di divisyen kedua liga Inggeris.

    Modric berkata di laman web kelab: “Ini adalah peluang yang menarik. Swansea mempunyai identiti yang kukuh, peminat yang luar biasa dan cita-cita untuk bersaing di peringkat tertinggi.

    “Setelah bermain di peringkat tertinggi, saya percaya saya boleh memberikan pengalaman saya kepada kelab.

    “Matlamat saya adalah untuk menyokong pertumbuhan kelab dengan cara yang positif dan untuk membantu membina masa depan yang mengujakan.”

    Tumpuan segera Modric adalah pada perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara Real Madrid di laman sendiri menentang Arsenal esok, dengan ketinggalan 3-0 selepas perlawanan pertama.

    Kontraknya di Bernabeu juga dijangka tamat pada penghujung musim ini.

    Keputusan Modric untuk melabur dalam kelab bola sepak adalah berikutan tindakan rakan sepasukan, Kylian Mbappe dan Vinicius Junior yang melakukan perkara yang sama di kelab Ligue 2, Caen dan kelab Portugal FC Alverca.

    “Saya teruja bahawa Luka telah menyertai sebagai pelabur dan pemilik bersama,” kata ketua eksekutif Swansea, Tom Gorringe.

    “Tiada idola yang lebih baik untuk pemain kami, dari akademi hinggalah ke pasukan utama.” – AFP

    Luka Modric semasa memanaskan badan dalam pertemuan menentang Arsenal, di Stadium Emirates, London pada 8 April. Modric jadi pemilik bersama kelab Swansea.– Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda