CHINA – Apabila satu pintu tertutup untuk Li Mei, pasti satu lagi akan terbuka.
Dilahirkan dengan kehilangan pendengaran yang teruk, Li telah menemui caranya untuk berkomunikasi dengan dunia iaitu melalui lukisan.
“Berus lukisan boleh membantu saya mencipta dunia yang berwarna-warni dalam imaginasi saya, memberitahu isi fikiran saya di atas kertas, bukannya melalui suara,” tulis pelukis berusia 40 tahun dari Changsha, wilayah Hunan itu, dalam respons bertaip kepada China Daily.
Melukis bukan sahaja cara dia menghadapi zaman kanak-kanak yang sunyi, tetapi juga telah menjadi kerjaya sepanjang hayatnya, jelas Li. Selain itu, lukisan membawa Li bertemu suaminya Hu Shiqun di Sekolah Vokasional dan Teknikal Changsha. Hilang pendengaran akibat ubat-ubatan ketika berusia 1 tahun, Hu juga seorang pencinta seni.
Pada 2016, Li menyertai syarikat suaminya, yang pakar dalam lukisan dinding dan tanah 3D. Kesemua lima pelukis di situ adalah cacat pendengaran.
“Saya tahu betapa sukarnya orang cacat pendengaran untuk mencari pekerjaan. Jadi saya ingin membantu mereka yang bersemangat melukis untuk mengejar impian mereka,” kata Hu sambil menambah bahawa syarikat itu lebih seperti sebuah keluarga.
Di banyak taman dan tempat yang indah di wilayah Hunan, pasangan itu telah mencipta mural berskala besar dan lukisan turapan interaktif yang menjadikan penonton sebahagian daripada lukisan itu.
Semasa cuti Hari Kebangsaan pada bulan Oktober, lukisan turapan mereka menarik ramai pengunjung untuk bergambar di atas ‘landskap’ kawasan pemandangan Gunung Zhaoshan di Xiangtan, Hunan.
Melalui berus mereka, turapan berubah menjadi pemandangan yang hebat seperti ikan berenang di kolam teratai dan rakit melalui sungai. Bagi Li, ciptaan mereka boleh menjadikan seni lebih mudah diakses oleh orang ramai dan, di sebalik setiap reka bentuk, terdapat jiwa humour, yang ingin berhubung dengan dunia.
“Suami dan saya ingin memperkenalkan lukisan kepada lebih ramai orang seperti kami dan membantu mereka mencari cara mereka sendiri untuk mencari rezeki,” kata Li.
“Saya berharap lebih ramai orang cacat pendengaran dapat terilhamkan oleh kisah kami dan cuba merealisasikan impian mereka.”
Kekuatan dalam diam
Sebelum belajar melukis di sekolah rendah, Li sentiasa berasa sunyi dalam dunia yang sunyi.
Dia tahu dia berbeza daripada rakan sebayanya kerana dia tidak boleh mendengar. Tetapi kelas melukis membuka untuknya pintu kepada kreativiti dan cara ekspresi.
“Setiap orang mempunyai dunia imaginasinya sendiri. Di dunia ini, saya boleh menggunakan berus lukisan saya untuk menyampaikan apa yang saya fikirkan dan ingin ungkapkan,” kata Li.
Untuk meneruskan minatnya dalam seni, Li belajar reka bentuk pengiklanan di Sekolah Vokasional dan Teknikal Changsha.
“Saya masih ingat mural pertama saya, iaitu membantu sebuah tadika untuk mereka bentuk dan mengecat dindingnya,“ kata Li. Projek itu menyedarkan dia betapa gembiranya dia melibatkan diri dalam lukisan.
Lulus dari kolej pada tahun 2005, Li mendapat pekerjaan sebagai jurutaip di sebuah institut awam di Zhuzhou, Hunan.
Ia adalah pekerjaan yang baik di mata bapanya, tetapi Li tidak gembira kerana dia tidak dapat berkomunikasi dengan rakan sekerja lain dan perasaan kesunyian sejak kecil kembali.
Dalam hampir 10 tahun sebagai jurutaip, Li jarang menggunakan berusnya dan suaminya tahu dia tidak gembira.
Pada Mac 2016, di bawah cadangan suaminya, Li berhenti kerja, walaupun tindakan itu ditentang keras oleh bapanya, dan menyertai syarikat Hu untuk menjadi pelukis dinding.
“Saya faham ayah saya, yang sentiasa bimbang terhadap saya yang akan menjalani kehidupan yang tidak stabil,” kata Li sambil menambah bahawa mengecat dinding adalah pekerjaan yang mencabar kerana ia memerlukan orang ramai bekerja di luar rumah, sama ada dalam cuaca yang sangat sejuk atau panas.
Memandangkan semua orang cacat pendengaran, komunikasi dengan pelanggan adalah cabaran paling biasa yang dihadapi oleh pasukan.
“Kami berkomunikasi melalui perkataan yang ditaip, perlahan dan menyebabkan kami kehilangan beberapa pelanggan,” kata Li.
Selain komunikasi, pandemik COVID yang berterusan juga telah menyebabkan ketidakpastian dengan beberapa projek.Selain itu, Li yakin dengan kemahiran melukis dan reka bentuk pasukan itu.
Karya seni lukisan dinding 3D syarikat itu memenangi hadiah pertama pada pertandingan wilayah Hunan untuk usahawan muda pada tahun 2016.
Perjalanan yang berwarna-warni
Kini Li mempunyai seorang perantis yang baru menamatkan pengajian di kolej.
Semasa membimbing perantis baharu itu, Li meneroka gayanya sendiri dan berharap untuk menjadi seorang ilustrator dan membuka pameran sendiri suatu hari nanti.
“Kini sikap ayah saya sudah berubah selepas melihat saya mempunyai kerjaya sendiri,” katanya.
Beribu pejabat di Changsha, Li dan suaminya mempunyai studio di Shanghai untuk mencari lebih banyak peluang perniagaan.
Cao Yingjie ialah pelanggan studio lukisan dinding dari Shanghai. Dia mengupah pasukan itu untuk melukis corak gaya jalanan di permukaan kaunter batu pasar runcit di daerah Baoshan.
“Mereka adalah golongan muda yang bertenaga dengan semangat untuk mencipta perkara baharu, dan awda boleh merasakannya dalam lukisan mereka,” kata Cao kepada sebuah saluran berita tempatan.
“Mereka juga merupakan pasukan profesional, berdedikasi, sering bekerja hingga larut malam dalam reka bentuk untuk kami.”
Seperti Li, semakin ramai orang tidak membiarkan kecacatan pendengaran mereka menghalang bakat mereka dalam seni dan mencari rezeki melalui berus mereka.
Di media sosial, terdapat ramai orang cacat pendengaran berkongsi kehidupan mereka untuk melawan stigma, menunjukkan bahawa mereka boleh mengambil bahagian sepenuhnya dalam aktiviti sosial.
Walaupun mereka hanyalah sebilangan kecil dalam kalangan 27 juta penduduk cacat pendengaran di negara ini, Li berharap kisah mereka dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang yang menghadapi pergelutan yang sama untuk membina kerjaya mereka sendiri dan mencapai matlamat mereka, tidak kira betapa sukarnya ia.
“Hidup boleh mencabar bagi komuniti kehilangan pendengaran yang entah bagaimana dikecualikan daripada perbualan, tetapi kami tidak bersendirian, dan kami boleh mencari cara kami untuk menyuarakan tentang diri kami,” kata pelukis itu. – ANN/The China Daily