Oleh Amri HTZ
Seni lukisan abstrak sering kali dikaitkan dengan pengungkapan perasaan seseorang pengkarya.
Gaya lukisan bebas menjadikannya lebih mudah untuk dihasilkan selain warnanya memikat para pemerhati. Seni kaya dengan warna ini juga amat sesuai untuk dijadikan perhiasan bagi sesebuah ruangan seperti seni lukisan lainnya. Jom membuatnya.
Barangan diperlukan
• Cat akrilik berwarna merah, kuning, biru dan putih
• Palette atau penutup bekas berupa plastik
• Berus warna akrilik
• Kertas warna air
• Pensel dan pemadam
• Pembaris
• Kain bersih atau kertas tisu
• Pita perekat
• Balang bersama air
• Bingkai gambar
Mula proses pembuatan
Langkah pertama pembuatan akan dimulakan dengan melekatkan kertas warna air pada permukaan rata menggunakan pita perekat pada bahagian sisinya. Penggunaan kertas kadbod atau akhbar adalah disarankan untuk memastikan permukaan meja kekal bersih.
Letakkan kertas dalam orientasi potret dan lekatkan pita perekat pada semua bahagian sisinya. Sasar langkah melekatkannya lebih kurang 5 sentimeter (cm) pada permukaan kertas dan selebihnya pada permukaan kadbod. (Gambar 2)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P20-2_25072023.jpg)
Guna pembaris untuk melakar garisan pada bahagian tengah kertas. Sebelum melakukannya, tandakan dengan titik pada permukaan tengah kertas sebagai panduan untuk melakar garisan. (Gambar 3)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P20-3_25072023.jpg)
Lakar garisan dengan kedudukan 1 inci x 1 inci membentuk segi empat sama untuk mendapatkan bahagian dalam rekaan berukuran 6.5 inci x 9 inci.
Ia tidaklah perlu sempurna ukurannya terutama pada kesemua bahagian sisi kertas.
Garisan yang membentuk kotak-kotak kecil akan terbahagi kepada enam garis menegak dan empat garis mendatar dengan keseluruhannya berjumlah kira-kira 24 kotak. (Gambar 4)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P20-4_25072023.jpg)
Lakar bentuk rekaan
Perhatikan garisan kotak-kotak kecil yang bersilang di mana bahagian ini akan dilakar dengan bentuk bulatan.
Langkah ini boleh dilakukan secara manual atau menggunakan kompas. Bentuk ini juga boleh digantikan dengan yang lain mengikut kesesuaian. (Gambar 5)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P20-5_25072023.jpg)
Padamkan kesemua garisan kecuali bentuk bulatan. Penggunaan pemadam jenis lembut adalah disarankan agar tidak merosakkan kertas.
Setiap satu bulatan akan diwarnakan dengan warna tersendiri. (Gambar 6)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P20-6_25072023-NEW.jpg)
Oleh itu, awda perlu menandakan setiap bulatan dengan warna khusus mengikut urutan yang boleh dilihat melalui hasil akhir lukisan.
• Baris mendatar pertama akan terdiri daripada warna merah, kuning + merah, kuning, kuning + hijau dan hijau.
• Baris kedua merah +kuning, kuning + hijau, hijau dan hijau + biru terang.
• Baris ketiga pula kuning, kuning + hijau, hijau, hijau + biru terang dan biru terang.
• Baris keempat – kuning + hijau, hijau, hijau + biru terang, biru terang dan biru terang + biru gelap.
• Baris kelima – hijau, hijau + biru terang, biru terang, biru terang + biru gelap dan biru gelap
• Baris keenam – hijau + biru terang, biru terang, biru terang + biru gelap, biru gelap dan biru gelap + ungu
• Baris ketujuh – biru terang, biru terang + biru gelap, biru gelap, biru gelap + ungu dan ungu
Semasa mewarnakan, pastikan berus dalam keadaan lembap dan tidak terlalu basah. Jika tidak, pewarna tidak akan dapat menyembunyikan garis kasar lakaran sebelumnya.
Manakala ketika mencampurkan warna, pastikan ia dilakukan pada permukaan khusus seperti palette atau plastik dengan permukaan rata untuk mengelakkan kontaminasi warna. Sebagai contoh, untuk mendapatkan warna oren, warna kuning perlu dicampurkan dengan merah. Tuangkan bahagian yang sama rata dan campurkan menggunakan berus sehingga awda mendapat warna yang konsisten.
Berus yang telah digunakan perlu benar-benar bersih sebelum mencampurkan warna lainnya.
Langkah akhir
Kertas yang telah diwarnakan kemudiannya akan diletakkan ke dalam bingkai gambar. Bagi menutupi keseluruhan bahagian sisi lukisan agar tampak lebih kemas, kertas berukuran sama akan digunakan dengan bahagian tengahnya dipotong berfungsi sebagai bingkai kecil. Meletakkannya pada ruangan bersesuaian setentunya mampu menghiasi dan menghidupkan suasana ruangan tersebut. (Gambar 6)
Tip rekaan
• Penggunaan alat kompas mampu melakar bentuk bulatan dengan sempurna dan cepat
• Untuk membuatkan warna yang disapu pada permukaan kertas cepat kering, guna kipas angin dengan putaran rendah berfungsi meniupnya agar cepat kering.