Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukisan dinding Pompeii tidak gambarkan hidangan piza

    MILAN, 30 JUN – Sebuah lukisan dinding hidup yang ditemui baru-baru ini di tapak arkeologi Pompeii kelihatan seperti sekeping piza, tetapi sebenarnya bukan piza, kata pakar di tapak arkeologi itu Selasa.

    Mereka menyatakan bahawa bahan-bahan utama yang diperlukan untuk membuat hidangan ikonik Itali – tomato dan keju mozzarella – tidak tersedia apabila lukisan dinding itu dilukis kira-kira 2,000 tahun lalu.

    Tomato hanya diperkenalkan ke Eropah dari Amerika beberapa abad yang lalu, dan beberapa catatan sejarah menyatakan bahawa penemuan mozzarella menjurus kepada pembuatan piza berdekatan Naples pada tahun 1700an.

    Sebaliknya, gambar tersebut dipercayai focaccia yang dipenuhi dengan buah-buahan, termasuk delima dan kemungkinan juga kurma, disajikan dengan rempah atau sejenis pesto, kata pakar. Dalam lukisan dinding, ia dihidangkan di atas pinggan perak dan cawan wain di sebelahnya.

    Perbezaan hidangan ringkas yang disajikan dalam suasana mewah, digambarkan dengan dulang perak, tidak seperti piza zaman moden, ‘lahir sebagai hidangan orang miskin di selatan Itali, yang telah menakluki dunia dan disajikan dalam hidangan restoran bertaraf bintang,” kata Gabriel Zuchtriegel, pengarah tapak arkeologi Pompeii.

    Bandar Rom purba Pompeii telah musnah dalam letusan Gunung Vesuvius kira-kira tahun 79 Masihi. Peristiwa yang mengejutkan dan membawa maut itu menyebabkan sebahagian besar strukturnya masih terpelihara, terbalut dalam abu gunung berapi. – AP

    Gambar serahan Taman Arkeologi Pompeii bertarikh 27 Jun menunjukkan dinding rumah Pompei purba dengan lukisan dinding yang menggambarkan meja dengan makanan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda