Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukisan Frida Kahlo dilelong AS$54.6 juta

    NEW YORK, 21 NOV – Sebuah potret diri oleh legenda seni Mexico, Frida Kahlo, telah terjual pada harga AS$54.66 juta di New York kelmarin, sekali gus mencatat rekod baharu sebagai lukisan paling mahal oleh seorang artis wanita, menurut rumah lelong Sotheby’s.

    Lukisan Kahlo bertarikh 1940 yang berjudul El sueño (La cama) yang membawa maksud ‘Mimpi (Katil)’ itu memecahkan rekod sebelum ini yang dipegang oleh artis Amerika, Georgia O’Keeffe, menerusi lukisan tahun 1932 bertajuk Jimson Weed/White Flower No. 1 yang terjual pada harga AS$44.4 juta pada 2014.

    Menurut Sotheby’s dalam satu hantaran di X, karya tersebut kini menjadi “hasil seni paling bernilai oleh seorang artis wanita yang pernah dilelong.”

    Rumah lelong itu berkata karya Kahlo “dilukis pada tahun 1940, dalam salah satu dekad paling penting dalam kerjayanya yang turut ditandai dengan hubungan penuh pergolakan bersama Diego Rivera.”

    Potret diri Kahlo itu ditawarkan dengan anggaran harga antara AS$40 juta hingga AS$60 juta. Identiti pembeli tidak didedahkan.

    El Sueño oleh Frida Kahlo dipamerkan pada Siri Jualan Marquee Sotheby’s di New York pada 8 November. – AFP

    Lukisan tersebut memaparkan artis itu sedang tidur di atas katil yang kelihatan terapung di antara awan di langit, dengan rangka manusia di atasnya yang kakinya dililit batang dinamit.

    Karya ini adalah imej yang ‘sangat peribadi’, di mana Kahlo “menggabungkan motif budaya rakyat Mexico dengan unsur surealisme Eropah,” kata Anna Di Stasi, ketua seni Amerika Latin di Sotheby’s kepada AFP.

    Artis Mexico itu, yang meninggal dunia pada 1954 pada usia 47 tahun, ‘tidak begitu bersetuju’ karya-karyanya dikaitkan dengan aliran surealisme, kata Di Stasi.

    Namun, “melihat kepada ikonografi yang menakjubkan ini, ia ternyata sesuai untuk dimasukkan dalam aliran tersebut.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda