Jumaat, 21 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukisan Frida Kahlo terjual pada harga AS$54.7 juta

    NEW YORK, 21 NOV – Sebuah potret diri oleh pelukis terkenal Mexico, Frida Kahlo terjual pada harga AS$54.7 juta di New York, sekali gus mencatat rekod karya seni paling berharga pernah dilelong oleh seniman wanita, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) kelmarin yang memetik rumah firma lelongan Sotheby’s.

    Sotheby’s berkata dua pembida bersaing selama lima minit untuk mendapatkan lukisan 1940 bertajuk El sueño (La cama) atau The Dream (The Bed) yang menggambarkan Kahlo berbaring di atas katil. 

    Identiti pembida yang berjaya tidak didedahkan.

    Rekod lelongan terdahulu bagi karya seniman wanita dipegang pelukis Amerika Syarikat, Georgia O’Keeffe, menerusi karya Jimson Weed/White Flower No1 yang terjual pada harga AS$44 juta pada 2014. 

    Bagi karya Kahlo sendiri, rekod sebelum ini mencecah AS$34.9 juta pada 2021.

    El sueño (La cama) kali terakhir dilelong pada 1980 pada harga AS$51,000.

    Seniman tersohor dunia itu, yang lahir pada 1907 dan meninggal dunia pada 1954 ketika berusia 47 tahun selepas kehidupan yang sarat kesakitan fizikal dan emosi, terkenal dengan potret dirinya yang ikonik. – Bernama/dpa

    Lukisan oleh Frida Kahlo bertajuk El sueño (La cama), dipamerkan di bilik lelongan Sotheby’s di London pada 19 September. Lukisan itu terjual pada harga AS$54.7 juta. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda