JAKARTA – Lukisan gua Indonesia mengenai pemburuan prasejarah mungkin menjadi karya seni figuratif tertua di dunia berusia 44,000 tahun.
Penemuan baharu itu juga menunjukkan kemajuan kebudayaan artistik sudah pun dicapai. Ditemui dua tahun lalu di sebuah pulau di Sulawesi, lukisan sepan-jang 4.5 meter itu menggambarkan haiwan liar dikejar pemburu separuh manusia bersenjatakan tombak dan tali.
Menggunakan teknologi pentarikhan, pasukan daripada Universiti Griffith, Australia itu mengesahkan lukisan gua batu kapur berusia sekurang-kurangnya 43,900 tahun, iaitu ketika Zaman Batu Lama Akhiran.
Kenyataan itu berkata, senario pemburuan itu berdasarkan pengetahuan semasa, dianggap rekod bergambar mengenai penceritaan dan karya seni figuratif terawal di dunia. Ia menyusul penemuan lukisan haiwan di sebuah gua di kepulauan Borneo yang disahkan berusia sekurang-kurangnya 40,000 tahun.
Berasal dari Eropah
Sejak sekian lama, seni gua dianggap berasal dari Eropah tetapi lukisan Indonesia itu mencabar teori berkenaan. Sekurang-kurangnya 242 gua atau tempat perlindungan memiliki imej purba di Sulawesi sahaja dan tapak baharu ditemui setiap tahun.
Dalam gambar terbaharu tersebut, pemburu telah dilukis dengan warna merah tua berbadan manusia tetapi berkepala haiwan termasuk burung dan reptilia.
Lukisan yang berkeadaan tidak baik, menunjukkan kebudayaan artistik maju dan tinggi sudah pun wujud sekitar 44,000 tahun lalu dengan dongeng, mitos agama dan kepercayaan spiritual.
“Gambar itu mungkin dianggap bukan sahaja seni figuratif terawal di dunia, bahkan bukti tertua terhadap komunikasi naratif seni Paleolitik.
“Ia perlu diberikan perhatian berdasarkan kemampuan untuk mencipta kisah cereka yang menjadi tahap terakhir dan terpenting dalam sejarah evolusi bahasa manusia serta perkembangan bentuk kognisi menyerupai zaman moden,” katanya. – AFP


