LONDON, 2 MAC – Lukisan kota Marrakesh oleh bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill, milik bintang Hollywood Angelina Jolie, memecah jangkaan apabila berjaya dijual dengan harga £7 juta (AS$9.75 juta) pada acara lelongan di London semalam.
Churchill, mengambil inspirasi daripada negara Maghribi dan melukis karya lukisan minyak ‘The Tower of the Koutoubia Mosque’ ketika lawatan Perang Dunia II pada tahun 1943.
Dia kemudian menghadiahkan karya tersebut kepada rakan sejawatan ketika itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Franklin Roosevelt. Rumah lelongan Christie menggelarnya sebagai karya terpenting Churchill.
Karya itu akhirnya menjadi milik pelakon Angelina Jolie yang baru-baru ini diletakkan bagi lelongan.
Selepas membuat tawaran, yang sebahagian besarnya dilakukan melalui panggilan telefon, ia akhirnya terjual pada harga £7 juta, menepis jangkaan pra-penjualan iaitu £1.5 hingga £2.5 juta. Christie menyatakan dalam aplikasi tweet, harga jualan berserta komisen adalah £8.2 juta. Dua lagi lukisannya juga dilelong, dengan ketiga-tiga karya itu berjaya dijual pada harga £9.43 juta.
Churchill ialah seorang pegawai tentera sebelum memasuki bidang politik dan mula melukis agak lewat iaitu pada usia 40 tahun.
Minatnya menjurus kepada bandar Marrakesh yang jauh dari angin politik dan kota London, sejak tahun 1930-an ketika sebahagian besar Maghribi berada di bawah jajahan Perancis.
Dia terus melakukan enam lawatan ke negara Afrika Utara itu selama 23 tahun. – AFP
