Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukisan Magritte dilelong AS$121 juta

    NEW YORK, 20 NOV – Karya pelukis surrealis, Rene Magritte mencatatkan rekod lelongan baharu kelmarin, selepas dijual lebih AS$121 juta di Christie’s, New York.

    Lukisan penting dari tahun 1954 itu yang sebelum ini dianggarkan bernilai AS$95 juta, telah mengatasi rekod terdahulu untuk karya Magritte (1898-1967) sebanyak AS$79 juta, yang dicatat pada 2022.

    Selepas bidaan sengit hampir 10 minit, lukisan bertajuk Empire of Light itu dijual pada harga AS$121.16 juta, mencatatkan rekod dunia untuk artis tersebut dan untuk karya seni surealis dalam lelongan, menurut kenyataan rumah lelong Christie’s.

    Lukisan yang memaparkan sebuah rumah pada waktu malam, diterangi lampu jalan di bawah langit biru cerah itu adalah sebahagian daripada siri karya pelukis Belgium itu yang menunjukkan interaksi bayang dan cahaya.

    Empire of Light adalah sebahagian daripada koleksi peribadi Mica Ertegun, seorang pereka dalaman yang berhijrah dari Romania ke Amerika Syarikat dan menjadi tokoh penting dalam dunia seni.

    Beliau meninggal dunia pada penghujung 2023 dan merupakan isteri kepada pengasas label muzik Atlantic Records, mendiang Ahmet Ertegun.

    Lelongan karya Magritte itu menjadi tumpuan utama dalam musim lelongan musim luruh di New York musim ini, di tengah-tengah kelembapan pasaran seni sejak tahun lalu.

    Christie’s, yang dimiliki oleh Artemis, syarikat pegangan pelaburan keluarga Pinault, mencatatkan jumlah jualan sebanyak AS$2.1 bilion bagi separuh pertama tahun ini.

    Jumlah itu menurun untuk tahun kedua berturut-turut, berbanding kemuncak AS$4.1 bilion pada 2022 ketika dunia mula pulih daripada pandemik COVID-19. – AFP

    Lukisan bertajuk Lempire des lumieres dipamerkan semasa pratonton media di New York, pada 8 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda