Monday, December 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukisan Van Gogh dijangka pecah rekod lelongan Hong Kong

    HONG KONG, 26 SEPT – Lukisan Vincent van Gogh yang memaparkan peralihan artis tersebut daripada realisme gelap kepada impresionisme yang berwarna-warni mungkin menjadi lukisan Barat paling mahal yang dijual di Asia jika ia mencapai nilai anggaran tertinggi sekitar AS$50 juta dalam lelongan Hong Kong hari ini.

    Les canots amarres atau ‘bot yang berlabuh’ akan menjadi tumpuan utama dalam jualan malam perdana yang diadakan bagi meraikan pembukaan ibu pejabat baharu Christie’s di Asia Pasifik.

    Menurut Christie’s, ia boleh mencecah antara AS$30 hingga AS$50 juta di lantai lelongan.

    Sehingga kini, lukisan Barat paling mahal yang dijual di rantau ini ialah Warrior oleh Jean-Michel Basquiat, kata rumah lelongan itu.

    Ia telah dijual dengan harga HK$323.6 juta kira-kira AS$41.9 juta pada masa itu di Hong Kong pada tahun 2021.

    Dimiliki oleh keluarga diraja Itali Bourbon Two Sicilies, lukisan Van Gogh tersebut adalah ‘lukisan paling penting oleh artis itu yang pernah ditawarkan di Asia’, kata Christie’s dalam pengenalannya.

    Les canots amarres ‘menandakan langkah penting dalam kerjayanya’, katanya.

    Lukisan itu adalah salah satu daripada kira-kira 40 karya Van Gogh yang dihasilkan di sekitar bandar Asnieres yang indah di Perancis, sebuah hab perahu di pinggir Paris, semasa musim panas tahun 1887.

    Dengan lukisan-lukisan tersebut, ‘dia meninggalkan sepenuhnya warna gelap pada gambar-gambar lamanya yang realistik. Dia kini menggunakan palet yang berwarna-warni dan berus yang longgar dan ekspresif,” kata Christie’s. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda