RIO DE JANEIRO, 21 OKT – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva kelmarin membatalkan lawatan ke Rusia untuk menghadiri sidang kemuncak BRICS setelah mengalami kecederaan di kepala, menurut pejabatnya.
Pejabatnya tidak menyatakan bagaimana kecederaan itu berlaku tetapi berkata beliau dibawa ke hospital di mana doktor mendapati beliau mengalami luka di bahagian belakang kepalanya dan menasihatinya agar tidak melakukan perjalanan jarak jauh.
Media tempatan melaporkan bahawa Lula terjatuh di bilik airnya pada malam Sabtu, menyebabkan luka yang memerlukan jahitan.
Lula yang berusia 78 tahun, bagaimanapun, akan menyertai mesyuarat BRICS melalui video persidangan dan akan menjalankan tugas biasa minggu ini di istana presiden di Brasilia, kata pejabatnya.
Sidang kemuncak selama tiga hari bagi negara-negara BRICS iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta rakan kongsi mereka akan membawa kira-kira 20 pemimpin dunia ke bandar Kazan mulai Selasa.
Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan pertemuan itu dalam apa yang dikatakan oleh beberapa penganalisis sebagai isyarat berani untuk menunjukkan bahawa perang Rusia di Ukraine tidak menjadikannya ter-asing. – AFP