RIO DE JANEIRO, 28 MAC – Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva kelmarin mengkritik tarif baharu yang dikenakan oleh rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sambil memberi amaran bahawa negaranya mungkin mengambil langkah perdagangan balas terhadap AS, lapor Xinhua.
“Saya sangat bimbang dengan tindakan kerajaan AS yang mengenakan tarif ke atas semua produk dari semua negara,” kata Lula da Silva pada sidang akhbar di akhir lawatan rasminya ke Jepun.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas import automotif, dengan menegaskan bahawa langkah perlindungan sedemikian akan meningkatkan harga kenderaan untuk pengguna AS serta boleh membawa kepada kenaikan inflasi dan kadar faedah.
“Saya bimbang kerana, akhirnya, perdagangan bebas yang terjejas. Saya bimbang kerana multilateralisme sedang dikalahkan. Saya bimbang kerana Presiden AS bukan ‘sherif’ dunia, beliau hanyalah Presiden Amerika Syarikat,” kata Lula da Silva.
Mengenai keputusan Washington awal bulan ini untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas keluli dan aluminium Brazil, Lula da Silva berkata kerajaannya akan membawa kes itu ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Kita tidak boleh berdiam diri. Kita akan merayu kepada WTO, dan jika itu gagal, kita akan melaksanakan tindakan balas dengan mengenakan tarif ke atas produk AS,” katanya.
Lula da Silva menegaskan bahawa perlindungan perdagangan secara unilateral merosakkan kerjasama ekonomi global dan melemahkan multilateralisme, sambil menyuarakan harapan agar negara lain yang terjejas oleh tarif baharu AS turut membawa kes mereka ke WTO serta mengambil langkah balas jika perlu. – Bernama
