Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lumba Perahu Tradisi meriah

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 29 SEPT – Pasukan Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Perayaan Daerah Belait mempamerkan semangat kesukanan dan kemahiran yang tinggi apabila menjuarai Lumba Perahu Khas 20 Pekayuh dan Trofi Cabaran pada Perlumbaan Perahu Tradisi 2019, bertempat di sepanjang Sungai Belait, hari ini.

    Sebanyak lebih 50 pasukan telah menyertai perlumbaan anjuran Pejabat Daerah Belait itu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada perlumbaan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, yang turut bersaing dalam Kategori Lumba Perahu Khas 20 Pekayuh.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, selaku penghulu Mukim Liang; dan Awang Hanapi bin Mohd Siput, selaku ketua Kampung Labi 1.

    Di akhir acara, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri kemudian menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di kejohanan lumba perahu tersebut. Kategori Lumba Perahu bagi Syarikat Swasta dan Persatuan Jemputan 15 Pekayuh, johan milik Pasukan Persatuan Kelab Pusat Belia.

    Pasukan Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Belait pula muncul juara bagi Kategori Lumba Perahu bagi Jabatan-jabatan Kerajaan serta Mukim dan Daerah 10 Pekayuh.

    Sementara itu Pasukan Mukim Burung Pingai Air menewaskan pesaing-pesaing lain dalam Kategori Lumba Perahu antara Mukim Jemputan 20 Pekayuh untuk bergelar juara.

    Dalam Kategori Lumba Perahu Terbuka bagi Jabatan-jabatan Kerajaan serta Mukim dan Daerah 20 Pekayuh, Pasukan Jabatan Daerah Tutong berjaya meninggalkan pasukan pencabar lain.

    Pasukan Setia Protective Securities mempamerkan kayuhan luar biasa apabila menjuarai Kategori Lumba Perahu bagi Syarikat-syarikat Swasta dan Persatuan Jemputan 20 Pekayuh. Sementara bagi kategori terakhir iaitu Lumba Perahu Terbuka Jemputan 20 Pekayuh menyaksikan Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei meraih tempat pertama.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menyerahkan Trofi Cabaran kepada Pasukan Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Perayaan Daerah Belait pada acara tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda