AL-SHAHANIYA, QATAR – Duduk di dalam trak pikap putih, Nasser al-Marri menyaksikan sukan lumba unta yang merentasi padang pasir Qatar dan menyatakan minatnya itu membuatkan bola sepak kurang penting jika dibandingkan dengannya.
Tetapi dengan Qatar bersedia untuk ketibaan lebih daripada satu juta orang peminat yang akan menyaksikan Piala Dunia, trek perlumbaan unta di Al-Shahaniya berharap sukan lumba unta juga akan dapat mencuri perhatian semasa penganjuran sukan paling popular di dunia itu.
“Unta adalah sebahagian daripada kehidupan kami, haiwan itu adalah minat terbesar kami,” kata Marri yang berusia 23 tahun, duduk di dalam kenderaan bersama tiga lagi jurulatih unta ‘mudammer’ di tepi trek, 40 kilometer timur ibu kota Doha.
Memandu seiring dengan trek, mereka mengawal joki robot kecil di belakang unta dan membuat haiwan itu berlari lebih pantas, satu inovasi moden untuk menggantikan joki kanak-kanak yang pernah melakukan kerja berbahaya itu.
“Ia adalah sukan nombor satu di negara-negara Teluk,” kata Marri, walaupun empat lelaki muda itu seperti kebanyakan rakyat lain tidak sabar menanti Piala Dunia yang bermula pada 20 November.
Abdallah Hafiz, 21, berkata dia akan menyokong Belanda, berharap ramai peminat bola sepak akan mengunjungi trek lumba unta untuk menyaksikan sukan nenek moyang mereka.
‘Sepanjang hidup saya’
Di tempat duduk belakang trak pikap itu, Ahmad Ali, 18, menunjukkan video bintang Brazil, Neymar berkunjung ke Al-Shahaniya bersama pasukan Paris Saint-Germain pada 2019 untuk perlumbaan istimewa sebagai penghormatan kepada pasukan itu.
“Saya harap Neymar kembali bersama rakan sepasukan Brazil yang lain, dan pasukan lain datang ke Al-Shahaniya untuk menyaksikan sukan negara kami dan suasana yang meriah,” kata Ali.
Di sebuah kafe kecil berhampiran trek, Ali al-Marri, 66, menghirup kopi tradisional Arab, memberitahu AFP dia menyertai perlumbaan unta sebelum Doha berubah seperti hari ini.
Dia mengimbau kembali zaman dahulu apabila tiada trek perlumbaan, dan pertandingan tidak dibahagikan kepada kategori saiz, umur dan jantina.
Joki hanya akan berlumba di taman berhampiran Doha. Dia meneruskan minat bapanya dan berkata, “Sekarang saya sudah bersara.”
Selain melatih haiwan, ‘mudammer’ juga bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan unta.
“Ia sukan yang mahal, tetapi unta adalah sangat penting bagi saya,” kata Marri.
Apabila perlumbaan tamat, Abu Hussein, seorang lelaki Sudan berusia 35 tahun, dan pekerja asing lain mengeluarkan joki robot dari unta dan membawa haiwan itu kembali ke kandang di Al-Shahaniya.
‘Jutaan dolar’
Pemilik ladang Abdallah Hafiz, 52, berkata, lumba unta memerlukan wang, usaha dan ketekunan.
Harga untuk seekor unta bermula sekitar AS$10,000, dan latihan dan penjagaan menelan kos sekurang-kurangnya AS$1,500 sebulan, jelasnya.
Tetapi untuk unta yang menang, tiada had harganya, yang boleh melebihi AS$1 juta.
Pertaruhan diharamkan di negara Islam itu, tetapi joki berlumba untuk hadiah menarik yang biasanya ditawarkan oleh keluarga pemerintah yang menaja sukan tradisional itu.
Kebiasaanya hadiah yang ditawarkan berupa sebuah kereta mewah bernilai AS$100,000, tetapi bagi sesetengah perlumbaan kebangsaan atau serantau, ia boleh menjadi “beberapa buah hingga 200 kenderaan, atau lebih”, kata Hafiz.
Sehingga dua dekad lalu, anak-anak yang dibawa masuk dari negara miskin menjadi joki. Mereka lebih kurus dan ringan jadi mempunyai peluang yang lebih baik.
Tetapi negara-negara Teluk mengharamkan amalan itu, yang mematuhi tekanan antarabangsa, berikutan kemalangan maut dan penderaan oleh sesetengah ibu bapa yang akan menghalang anak-anak mereka makanan supaya berat badan mereka tidak bertambah. Kini robot digunakan sebagai pengganti.
Anak saudara Hafiz, Mohamed, 27, bekas pemain bola sepak, berkata kedua-dua sukan itu menuntut latihan yang ketat dan perhatian yang besar.
Tidak seperti beberapa jurulatih, Marri yang sudah bersara berkata “bola sepak tidak menarik minatnya.” – AFP