Anggota SEVENTEEN, berasal dari Korea selatan, Mingyu akan berehat buat sementara waktu daripada menjalani sebarang acara promosi disebabkan berdepan dengan masalah kesihatan.
Agensinya, PLEDIS Entertaintment memaklumkan Mingyu mengalami lumpuh pada bahagian bawah belakangnya secara tiba-tiba menyebabkan berlaku kesakitan.
Atas saranan doktor, penyanyi terbabit tidak akan menghadiri aktiviti SEVENTEEN yang sudah dijadualkan dalam tempoh terdekat. Dia turut diberi kelonggaran sertai mana-mana aktiviti mengikut keselesaannya.
“Khamis lalu, Mingyu mengalami sakit belakang secara tiba-tiba dan perlukan rawatan.
“Selepas diperiksa, dia dinasihatkan pihak perubatan untuk bercuti dan dipantau sehingga sembuh,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Agensi itu turut menegaskan bahawa kesihatan Mingyu adalah keutamaan mereka sebelum dia dibenarkan kembali menjalani aktiviti seni.
“Walaupun dia bersungguh-sungguh mahu turut serta dalam aktiviti promosi untuk album terbaru, syarikat kami lebih utamakan kesihatannya. Kami memberi kelonggaran kepada jadualnya dalam tempoh itu,” katanya.
Agensi itu turut memohon maaf terhadap peminat yang menantikan bertemu Mingyu.
“Malang sekali, kerana faktor itu dia tidak akan turut serta dalam aktiviti dijadualkan termasuk program muzik dan acara bertemu peminat pada minggu ini.
“Kami ingin memohon maaf dan berharap semua pihak faham dengan situasi ini. Kami akan lakukan yang terbaik untuk pastikan kesembuhan Mingyu supaya sihat sepenuhnya,” katanya.
PLEDIS Entertaintment juga berjanji akan memberikan perkembangan dari semasa ke semasa mengenai kesihatan Mingyu. – Agensi