Friday, December 13, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lumut hijau cantik untuk hiasan rumah

    HANOI – Lumut hijau dapat membawa perasaan tenang dan santai, dan lumut yang tumbuh di dalam bangunan atau rumah dapat mengubah apa yang merupakan tanaman biasa menjadi karya seni yang indah dan menarik perhatian untuk hiasan dalaman rumah.

    Hoang Tuan Anh, seorang pemuda Hanoi, adalah seniman di sebalik karya seni alam yang mengagumkan itu.

    “Minat saya terhadap seni lumut bermula semasa sekatan pandemik COVID-19 memandangkan saya tidak dapat pergi bekerja di hotel saya,” beritahunya kepada Viet Nam News.

    “Saya tinggal di rumah sepanjang hari dan mencari hobi di internet. Saya suka menanam bonsai dan tumbuhan hiasan lainnya. Setelah setahun mencuba menanam bonsai, saya beralih ke seni lumut, di mana lumut alami digunakan sebagai bahan utama untuk membuat karya seni,” ujarnya.

    Buat masa sekarang, dia bekerja dengan dua jenis seni lumut, iaitu terarium lumut hidup dan dinding lumut yang diawetkan.

    Mural Hijau: Hoang Tuan Anh menghasilkan lukisan dinding daripada lumut awet. – ANN/VNS
    Cermin dihiasi dengan lumut awet. – ANN/VNS
    Lumut akan diawet sebelum mencapai ‘status hibernasi’. – ANN/VNS
    Lumut dan tumbuhan kecil lain boleh hidup lama di dalam bekas kaca bertutup. – ANN/VNS
    Pelanggan mengunjungi kedai Anh untuk melihat dan membeli karya seni lumut. – ANN/VNS

    Yang pertama adalah lumut yang ditanam dalam terarium kaca. Jenis seni bunga ini cukup popular di dunia.

    Lumut dan tanaman kecil lain boleh ditempatkan di dalam bekas. Lumut hidup lebih suka persekitaran yang lembap, yang dapat mewujudkan ekosistem tertutup yang tidak memerlukan banyak jagaan. Lumut dan tanaman di dalam terarium tertutup dapat melepaskan karbon dioksida daripada kelembapan.

    “Kami hanya perlu menyiramnya sekali atau dua kali sebulan, jauh lebih sedikit daripada yang diperlukan oleh bonsai,” katanya.

    Yang kedua adalah dinding lumut yang diawetkan, sesuatu yang masih baharu di Vietnam.

    “Lumut alami dibersihkan dan diolah sehingga mencecah ‘status yang diawetkan’ supaya ia membantut atau menghentikan proses penuaan lumut dan tidak memerlukan penjagaan,” katanya. “Lumut akan mengekalkan kecantikannya, bentuk dan warnanya dari waktu ke waktu tanpa mengalami pereputan. Kami tidak perlu menyiram atau menjaganya. Seni lumut yang diawetkan dapat bertahan untuk masa yang amat lama.”

    Anh mempamerkan banyak terarium lumut hidup dan bingkai dinding lumut di kedainya untuk dijual.

    Pelanggan yang cerewet boleh menempah karya seni lumut mengikut kesukaan mereka, yang memerlukan masa 7 hingga 10 hari untuk siap.

    Anh menggunakan bahan-bahan khas yang tersedia di seluruh negara.

    “Spesies lumut berlainan yang tumbuh di daerah berlainan mempunyai warna dan bentuk yang berlainan,” katanya.

    “Untuk beberapa spesies yang istimewa, saya harus mengimport dari pemborong di luar negara.”

    Lumut awet

    Anh mengatakan untuk mencipta lapisan lumut awet yang berkualiti tinggi, dia memerlukan masa sekitar dua tahun untuk mencari cara terbaik.

    “Apabila saya berjaya melakukannya, saya dapat menghasilkan lebih banyak karya seni dari lumut yang diawetkan,” katanya.

    Proses tersebut melibatkan tiga tahap. Pertama adalah membuang tanah atau serangga hidup dari lumut segar. Kemudian bahan kimia digunakan, dan lumut diolah menjadi ‘status hibernasi’.

    “Langkah yang paling mencabar adalah mengeringkan lumut, yang memerlukan lima hingga tujuh hari dalam keadaan cuaca kering dan cerah,” katanya.

    “Jika keadaan adalah lembap atau lumut tidak dikeringkan dengan baik, kami tidak akan mendapatkan lukisan dinding lumut awet yang berkualiti tinggi.”

    Anh berkata dia menerima inspirasi daripada landskap alam semula jadi untuk tema seni lumutnya.

    “Selepas berkelah, saya mungkin mahu merenung kembali pemandangan indah yang saya lihat,” katanya.

    “Saya menggunakan seni kiub. Lukisan lumut bukanlah sekadar lukisan datar.

    Terdapat lengkungan, puncak tinggi dan titik rendah sehingga apabila awda melihat lukisan itu, orang dapat melihat kontras warna, yang me-rangsang penglihatan audiens. Daripada sudut berlainan, audiens dapat melihat pandangan seni yang indah.”

    Anh mendakwa orang yang suka menanam lumut seperti dirinya cenderung bersifat spontan.

    “Salah satu alasan utama bagi saya untuk membuka kedai seni lumut adalah kerana saya ingin berkongsi minat dengan lebih ramai orang, yang dapat bersantai dan menikmati keindahan alam semula jadi semasa menjalani kehidupan mereka yang sibuk,” katanya.

    Dia juga telah mengadakan beberapa bengkel untuk membimbing orang tentang cara-cara membuat karya seni dari lumut.

    Anh menyimpan cita-cita untuk menjadi sebahagian daripada trend orang yang menghayati seni lumut.

    “Setelah kerja seharian atau pun semasa bekerja, orang dapat bersantai dengan menciptakan sesuatu yang indah daripada lumut,” katanya.

    Dalam jangka masa yang lebih panjang, dia ingin mengaplikasikan seni lumut dalam dekorasi dalaman malah menghasilkan karya seni yang berpengaruh di tempat awam.

    Pelanggan Phm Thanh Sn menyukai alam semula jadi dan pemandangan. “Saya akan membeli sebuah terarium seni lumut untuk dipamerkan di rumah dan satu lagi di pejabat saya,” katanya.

    Manakala Vu Minh Hng berkata dia sedang mencari beberapa objek hiasan untuk dipamerkan di salun dandan rambutnya.

    “Saya suka cermin dengan lumut awet di sekelilingnya,” katanya. “Ia akan membantu melembutkan ruang kedai saya, yang mempunyai terlalu banyak peralatan dan perabot.”

    Anh berkata hasil seni lumut yang diawetkan boleh bertahan hingga puluhan tahun.

    Kedainya menawarkan waranti selama satu tahun untuk lukisan lumut yang diawetkan, dan selepas itu pelanggan hanya perlu membayar sejumlah kecil yuran untuk perkhidmatan penyelenggaraan.

    “Bagi saya, seni lumut merupakan satu khazanah sebenar, yang memerlukan masa untuk menerokainya. Selain menghasilkan kerja seni baharu, saya ingin menubuhkan komuniti penanam lumut profesional di Vietnam,” katanya. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda