Pelakon Luna Maya dilaporkan bakal mengikat tali pertunangan bersama teman lelakinya iaitu pelakon Maxime Bouttier.
Khabar angin itu sedang hangat diperkatakan dalam kalangan peminat dua selebriti itu di Indonesia namun Luna, 40, menyangkal perkara itu.
“Belum lagi, kalau bertunang pasti saya akan maklumkan pada semua orang,” katanya seperti dilaporkan Detikhot.
Berkongsi mengenai sikap aktor kacukan Perancis dan Indonesia itu, Luna berkata, dia selesa berada disamping Maxime kerana sikapnya yang baik.
Meskipun jarak usia mereka 10 tahun namun Luna menganggap Maxime adalah lelaki idamannya.
“Maxime seorang yang cool, dia baik dan saya sangat senang berada di sisinya. Kami dah kenal lama.
“Saya rasa dia bukan sahaja lelaki idaman saya tetapi idaman semua wanita,” ujarnya.
Sebelum ini, khabar angin percintaan terbaharu Luna mula dihidu peminat selepas dia bersama meraikan ulang tahun kelahiran Maxime pada April lalu.
Meskipun ramai yang suka melihat mereka bersama namun ada juga yang berpendapat Maxime bukan lelaki sesuai untuk Luna disebabkan jarak usia di antara mereka.-Agensi
