Dua tahun menyulam cinta, pasangan pelakon popular Indonesia Luna Maya dan Maxime Bouttier sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada petang kelmarin.
Luna atau Luna Maya Sugeng, 42, dinikahkan sendiri oleh abang kandungnya iaitu Tipi Jabrik dan disaksikan oleh pelakon Raffi Ahmad, seorang penolong pendaftar perkahwinan serta seorang lagi saksi, menurut petikan mStar.
Sejurus sah bergelar isteri, Luna dilihat mengalirkan air mata tanda bersyukur upacara pernikahan mereka berjalan lancar.
Majlis pernikahan itu diadakan di Bali, Indonesia secara tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai.
Upacara pernikahan pasangan disiarkan secara langsung menerusi YouTube Luna Maya.
Rata-rata warganet di ruangan komen juga mengucapkan ucapan tahnaiah dan mendoakan rumah tangga pasangan ini kekal sehingga akhir hayat.
Sebelum akad nikah, pasangan ini menjalani upacara bersiram pada Selasa iaitu satu tradisi penting dalam budaya Jawa yang melambangkan penyucian diri sebelum bergelar suami isteri.
Istiadat itu turut disiarkan secara langsung di YouTube, Luna bagi membolehkan peminat menyaksikan sendiri momen bermakna tersebut.
Meskipun berbeza usia 10 tahun, ia tidak menghalang Luna dan Maxime, 32, untuk mempunyai hubungan istimewa antara mereka.
Sebelum ini, Maxime melamar Luna dengan melutut dan menghulurkan sebentuk cincin ke arah aktres itu semasa mereka bercuti di Jepun pada April lalu.
Untuk rekod, hubungan cinta Luna dan Maxime mula dihidu peminat sekitar tahun 2023. – Agensi
