WASHINGTON, 29 DIS – Penjaga gol ais hoki Sweden, Henrik Lundqvist, pemenang Sukan Olimpik dan bintang Liga Hoki Kebangsaan (NHL) selama 15 tahun bersama New York Rangers, berkata kelmarin dia akan menjalani pembedahan jantung.
Pemain berusia 38 tahun itu menandatangani perjanjian ejen bebas selama setahun bersama Washington pada Oktober tetapi berkata awal bulan ini bahawa dia akan terlepas musim NHL yang akan datang disebabkan oleh keadaan jantungnya.
“Tiga minggu kebelakangan ini, tumpuan saya bertukar dari kem latihan dan musim akan datang kepada kesihatan saya dan apa yang saya boleh dan tidak boleh lakukan,” menurut Lundqvist menerusi Twitter.
“Membuat jadual untuk pembedahan jantung ketika ini – menukar injap aorta, akar aorta dan penukaran aorta secara lebih tepat.
“Kita semua ada cabaran yang perlu diatasi. Kekal positif dan memasang cita-cita untuk kembali ke jalan pemulihan.”
Lundqvist berkata dia berharap dapat membantu Capitals untuk menjuarai Stanley Cup yang berjaya dilakukan oleh mereka pada 2018 selepas gagal untuk meraih kejuaraan dengan Rangers.
Rangers, memilih Lundqvist dalam senarai NHL 2000, menamatkan kontraknya pada September selepas kemunculan penjaga gol, Igor Shesterkin dan Alexander Georgiev membuatkan ‘Raja Hendrik’ menjadi tidak penting.
Lundqvist membuat satu-satunya aksi final Piala Stanley pada 2014, apabila Rangers tewas kepada Los Angeles empat perlawanan berbalas satu.
Lundqvist berada dalam ranking keenam dalam senarai kemenangan sepanjang zaman NHL dan berada di tempat ketujuh kerjaya dengan 23,509 gol diselamatkan. Dia memenangi Trofi Venzina sebagai penjaga gol terbaik NHL dan memasuki final empat kali. Tetapi musim lepas, dia mencatat hanya 10 kemenangan dalam 26 permulaan. – AFP
