Luno, Shopee jalin kerjasama

KUALA LUMPUR, 28 JAN – Syarikat tukaran wang kripto yang berpangkalan di London, Luno, dan platform e-dagang Shopee Malaysia, menjalin usaha sama untuk menawarkan akses kepada pelbagai penawaran, diskaun dan baucar di Shopee kepada rakyat Malaysia untuk membeli dan menukarnya kepada wang kripto.

Dalam kenyataan hari ini, Luno berkata ia mahu memanfaatkan asas pengguna Shopee yang besar untuk menarik pelanggan baharu dengan menawarkan baucar bitcoin RM15 dengan hanya RM1, selain baucar menarik lain di kedai rasmi Luno di Shopee. Ia berkata promosi Tahun Baharu Cina (CNY) yang berlangsung di Shopee sehingga 10 Februari 2020, turut meliputi tawaran baucar serendah RM0.88.

“Selain itu, sebagai sebahagian daripada sambutan CNY, Luno menawarkan diskaun dagangan sebanyak 0.2 peratus bagi semua pelanggan, sehingga 31 Mac, 2020,” katanya.

Pengurus negara Luno Malaysia Aaron Tang berkata platform tukaran mata wang kripto itu yang dikawal oleh Suruhanjaya Sekuriti, membolehkan syarikat meneroka kaedah baharu meluaskan akses kripto kepada pengguna di Malaysia.

“Kami menjangkakan usaha itu akan memacu kesedaran dan seterusnya penggunaan (wang kripto), yang akan memudahkan pengguna di Shopee mengakses kripto dan memulakan perjalanan pelaburan mereka,” katanya. Kenneth Soh, Ketua Shopee Mall, Shopee Malaysia, berkata faktor utama kejayaan Shopee ialah kerana syarikat itu berusaha untuk meluaskan penawaran produk dan akses kepada semua.

“Pada 2019, Shopee menawarkan urus niaga belian hartanah, kereta, makanan dan minuman dan banyak lagi di platform kami, manakala pada Januari 2020, kami memberi peluang kepada pengguna untuk mencuba mata wang kripto menerusi usaha sama kami dengan Luno,” katanya. – Bernama