Saturday, February 15, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Luqman Hakim, Annil tersenarai ke kem latihan Harimau Muda

    KUALA LUMPUR, 12 MAC – Dua pemain muda Malaysia yang berkelana di luar negara iaitu penyerang Luqman Hakim Shamsudin dan pemain pertahanan Annil Vigneswaran, merupakan antara 17 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) bermula Ahad ini.

    Luqman ketika ini beraksi bersama kelab Jepun Y.S.C.C Yokohama, manakala Annil pula bermain untuk kelab divisyen tiga Jerman iaitu SV Waldhof Mannheim 07.

    Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kem latihan skuad Harimau Muda itu merupakan persediaan mengharungi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, dari 15 April hingga 3 Mei ini.

    Turut disenaraikan Ketua Jurulatih skuad Harimau Muda Juan Torres Garrido ialah pemain kacukan Malaysia-Scotland Fergus Tierney yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) II, serta dua lagi pemain JDT Daryl Sham K.K George dan Muhamad Najmudin Akmal Kamal Akmal.

    Menurut kenyataan FAM, kesemua 17 pemain ini akan disertai beberapa pemain yang ketika ini sedang menjalani kem latihan Harimau Malaya, di bawah kendalian Kim Pan Gon sejak 8 Mac lalu bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman pada 21 Mac di Muscat dan 26 Mac di sini.

    Seramai 11 pemain skuad B-23 kebangsaan terlibat dalam kem latihan Harimau Malaya, antaranya tonggak tengah Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, penyerang Kuala Lumpur City FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli dan penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

    “Mana-mana pemain (11 pemain bersama kem latihan Harimau Malaya) yang tidak berada dalam skuad akhir untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman, akan dilepaskan untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan,” menurut kenyataan FAM.

    FAM juga menyatakan bahawa seramai 16 pemain diletakkan dalam senarai bersedia, antaranya Ziad El Basheer Norisham dari JDT, pemain Perak FC Nik Umar Nik Aziz dan Azhad Harraz Arman yang bermain untuk Sabah FC.

    Bagi kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar nanti, skuad Harimau Malaya B-23 yang diundi dalam Kumpulan D, akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April). – Bernama

    Penyerang muda negara, Luqman Hakim bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Shanghai, China untuk aksi persahabatan antarabangsa.- Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda