Luqman tangguh pelancaran single baharu

Kehilangan arwah bapa memberi kekuatan kepada penyanyi, Luqman Faiz untuk hidup berdikari dan tidak bergantung harapan kepada keluarga. Dia hanya mahu memberi kesenangan kepada ibunda tercinta.

“Saya kehilangan ayah sebagai tempat bergantung pada usia 17 tahun. Ia memberikan kekuatan untuk saya bangkit daripada kesedihan.

“Emak adalah insan pertama yang difikirkan setiap kali mahu melakukan apa sahaja perkara.

“Contoh utama, semua simpanan pendapatan disalurkan kepada emak. Kalau saya mahu membeli barang keperluan, baru minta emak memasukkan wang dalam akaun bank.

“Selain itu, saya pastikan pulang ke rumah sebelum jam 12 tengah malam kecuali jika ada komitmen seni. Jika dahulu, saya akan minta duit dengan emak. Tapi sekarang, saya tak mahu membebankan emak sejak hidup berdikari,” katanya.

Luqman terpaksa menangguhkan pelancaran single baharunya Loco Loco berikutan keadaan politik semasa dan penularan COVID-19. – Agensi

Mendapat restu ibu untuk menjadi anak seni, namun ratu hatinya itu mahu melihat Luqman memiliki kelulusan akademik bagi menjamin masa depan.

“Biar apapun yang saya lakukan, bidang pelajaran diberi keutamaan,” kata penuntut bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.

Sementara itu, hasrat Luqman atau nama penuhnya, Luqman Abd Halim Faiz melancarkan single ketiga, Loco Loco sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-20 pada 3 Mac lalu tidak kesampaian berikutan keadaan politik semasa dan penularan COVID-19.

“Nampaknya, saya kena ‘peram’ lagu ini buat seketika. Saya belum pasti bila lagu itu akan dilancar dan dipromosikan. Saya harap tidak disimpan lama.

“Saya akur, ada perkara dan situasi termasuk hal ehwal politik dan wabak di luar kawalan kita.

“Saya juga tidak mahu mengambil risiko. Saya percaya ada artis tidak berani melancarkan lagu baharu buat masa ini,” katanya yang sebelum ini muncul dengan lagu Kepuraanmu dan Takhta Cinta.

Penyanyi naungan Aries Music itu tidak sabar menantikan lagu ciptaan Dedeq itu dilancarkan.

Single Loco Loco (yang bermaksud gila-gila dalam bahasa Sepanyol) dirakamkan akhir tahun lalu. Mahu mencabar diri selain mengikut kemahuan syarikat rakaman, jejaka itu mencuba rentak reggaeton yang menjadi pilihan penyanyi sekarang. – Agensi