SINGAPURA, 2 MAC – Lydia Ko akhirnya menakluki Kejohanan Dunia Wanita HSBC dengan kemenangan meyakinkan empat strok ke atas Ayaka Furue dan Jeeno Thitikul dalam pusingan akhir hari ini.
Pemenang pingat emas Olimpik 2024 dan juara Terbuka British Wanita itu bangkit selepas permulaan sederhana dengan mencatat birdie di lubang keenam par-5. Ko meneruskan momentum dengan dua birdie berturut-turut di lubang ketujuh dan kelapan, sekali gus menguasai kedudukan teratas.
Walaupun melakukan dua bogey selepas giliran, pemain ranking ketiga dunia itu menutup saingan dengan catatan 69, menjadikan jumlah keseluruhannya 13 bawah par 275 di Kelab Golf Sentosa.
“Saya bermimpi menang malam tadi, tetapi apabila bangun, saya sedar ia belum menjadi kenyataan,” kata Ko, yang meraih gelaran LPGA ke-23 dan kemenangan pertamanya sejak Kejohanan Kroger Queen City pada September lalu. “Saya hanya mahu fokus kepada permainan saya.”
Pencapaian terbaik Ko sebelum ini di kejohanan tersebut ialah tempat kedua pada 2015. “Ia sangat mengujakan akhirnya dapat menambah ‘gelaran utama Asia’ ke dalam koleksi kemenangan saya,” tambahnya.
Jeeno Thitikul, pemain nombor dua dunia, berusaha mengejar Ko tetapi terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua bersama Ayaka Furue selepas masing-masing mencatat 70 dan 68, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan bawah par. Jeeno cuba memberi tekanan dengan dua birdie awal dalam empat lubang pertama, tetapi gagal mengekalkan rentaknya.
Charley Hull, yang hanya satu pukulan di belakang Ko sebelum pusingan akhir, terpaksa melupakan harapan untuk menjulang kejuaraan selepas catatan 74, berkongsi tempat keempat bersama Im Jin Hee (67) dan Gaby Lopez (70) dengan tujuh bawah par.
Kejohanan di Singapura itu merupakan yang kedua daripada tiga kejohanan dalam siri pusingan Asia LPGA tahun ini. Acara terakhir akan berlangsung minggu depan di Pulau Hainan, China. – AP
