BUDAPEST, 25 OGOS – Juara dunia baharu 100 meter, Noah Lyles kekal di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan pecut berganda sejak tahun 2015 walaupun terbabit dalam kemalangan.
Lyles, Andrew Hudson dan enam atlet lain menaiki ‘buggy’ untuk ke stadium bagi acara separuh akhir 200m apabila sebuah buggy lain merempuh kenderaan mereka.
Mata pelari Jamaica, Hudson dimasuki serpihan kaca dan dia diberikan tempat ke pusingan akhir walaupun catatannya di luar kelompok lapan terpantas.
“Saya rasa semuanya berlaku dalam gerak perlahan. Saya menaiki buggy dalam perjalanan ke stadium dan duduk di bahagian tepi yang dilanggar buggy lain.
“Serpihan kaca memasuki mata saya. Sebahagiannya berjaya dikeluarkan. Mata saya agak kabur sekarang,” kata Hudson yang akan menjadi pelari kesembilan pada final nanti.
Lyles melayakkan diri ke final dengan catatan 19.76 saat, diikuti Alexander Ogando dari Republik Dominica di tempat kedua.
Lyles berpeluang menjadi atlet lelaki pertama memenangi gelaran pecut berganda sejak Usain Bolt pada tahun 2015.
Pelari Amerika Syarikat itu adalah juara bertahan dua kali acara 200m dunia dan dia mensasarkan untuk memecahkan rekod 19.19s yang dicatat Bolt di Kejohanan Dunia 2019 di Berlin. – AFP