Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lyles pintas juara Olimpik dalam acara 200m

    ZURICH, 29 OGOS – Noah Lyles memanaskan badan menjelang kejohanan dunia olahraga dengan menewaskan juara Olimpik, Letsile Tebogo, untuk memenangi acara 200 meter pada final Liga Berlian, kelmarin.

    Lyles yang ketinggalan di belakang Tebogo pada permulaan, berjaya menutup jurang itu dalam 100 meter terakhir sebelum memintas pelari Botswana itu di garisan penamat dengan kelebihan hanya beberapa inci. Lyles, juara Olimpik 100 meter dan juara dunia bertahan dalam acara 100 serta 200 meter, mencatatkan masa 19.74 saat dengan sedikit angin menentang. Tebogo pula hanya ketinggalan 0.02 saat.

    Kemenangan itu merupakan gelaran Liga Berlian keenam buat Lyles, sekali gus mencipta rekod bagi atlet trek.

    “Enam, itu angka yang besar,” kata Lyles. “Itu satu lagi rekod dalam senarai. Memang hebat, saya tidak akan menafikan.”

    Di Sukan Olimpik Paris, Lyles hanya meraih pingat gangsa dalam acara 200 meter, di belakang Tebogo dan rakan senegaranya, Kenneth Bednarek. Namun dia berkata kini bersedia mempertahankan kedua-dua gelaran individunya di Kejohanan Dunia di Tokyo bulan depan.

    “Saya tahu saya cergas, dapat berlari penuh 200 meter. Saya ada kepantasan di penghujung,” kata Lyles.

    Dalam acara 100 meter lelaki pula, saingan turut sengit apabila pelari Amerika Syarikat, Christian Coleman, mencatatkan masa 9.97 saat untuk mengatasi Akani Simbine dari Afrika Selatan dengan kelebihan 0.01 saat. Ackeem Blake dari Jamaica pula ketinggalan 0.01 saat lagi di tempat ketiga.

    Sementara itu, Femke Bol dari Belanda meneruskan dominasi dalam acara 400 meter berpagar wanita apabila menamatkan larian dengan catatan rekod kejohanan 52.18 saat untuk merangkul gelaran Liga Berlian keseluruhan buat kali kelima. Bol kini mencatatkan 30 kemenangan berturut-turut dalam siri Liga Berlian sejak tahun 2020.

    “Satu lagi musim Liga Berlian tanpa kalah,” kata Bol. “Memang hebat.” – AP

    Noah Lyles (kanan) melintasi garisan penamat mendahului Letsile Tebogo untuk memenangi acara 200 meter lelaki pada final Kejohanan Olahraga Liga Berlian Dunia 2025 di Zurich, Switzerland, pada 28 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda