LYON, 25 JUN – Juara Ligue 1 tujuh kali, Lyon, kelmarin berkata mereka akan merayu tentang penyingkiran mereka ke Ligue 2 oleh badan pemerhati kewangan bola sepak Perancis.
Pada perbicaraan awal hari itu, Lyon tidak dapat meyakinkan pengawal selia (DNCG) untuk menarik balik sekatan yang telah dikenakan ke atas kelab itu November lepas.
“Sejak beberapa bulan lalu, kami telah bekerjasama rapat dengan DNCG, memenuhi semua permintaannya dengan pelaburan ekuiti melebihi jumlah yang diminta,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Selepas pertemuan itu, Presiden Lyon, John Textor berkata dia tetap yakin untuk mengelak penyingkiran ke Ligue 2 untuk musim depan, di mana kelab itu tidak bermain pada peringkat itu sejak 1989.
“Keadaan kewangan kami telah bertambah baik dengan ketara,” katanya.
American Textor mengambil alih sebagai pemilik majoriti Lyon pada Disember 2022 daripada pemilik sebelumnya, Jean-Michel Aulas, yang telah mengawasi kejayaan yang tidak pernah diperoleh sebelum ini bagi pasukan Perancis itu.
Textor, 59, juga memegang saham dalam pasukan Brazil Botafoga, kelab Belgium Molenbeek. Awal minggu ini dia menjual 43 peratus sahamnya dalam kelab Liga Perdana, Crystal Palace.
Menurut BBC, ia dijual dengan harga 190 juta pound kepada pemilik New York Jets NFL, Woody Johnson. – AFP
