Thursday, October 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    M Nasir berjaya pujuk Joey Daud

    Tampil menyertai program nyanyian Famili Duo musim keempat (FD4), pelawak dan pelakon Joey Daud berharap ia juga bakal menjadi permulaan untuk mengembalikan semula namanya sebagai penyanyi.

    Malah, Joey atau Zulkifli Daud, 51, berkata setelah sekian lama tidak aktif dalam bidang nyanyian, dia bakal tampil dengan sebuah lagu baharu yang kini masih dalam proses pembikinan.

    Lebih menarik lagi lagu tersebut merupakan ciptaan individu yang pernah mengangkat bakat Joey iaitu komposer Datuk M Nasir.

    “Sudah lama saya tidak menyanyi. Saya mula sebagai penyanyi jadi apa salahnya saya tutup mata dengan kerjaya nyanyian.

    “Saya akan tampil dengan sebuah lagu baharu. M Nasir berjaya pujuk saya untuk rakamkan lagu bersama Syarikat Luncai Emas (milik M Nasir).

    Joey pernah bernaung di bawah syarikat rakaman milik M Nasir (kanan). – mStar

    “Lagu tersebut masih lagi dalam proses pembikinan dan hampir siap 80 peratus. Saya digandingkan dengan seorang gitaris hebat dan seorang rapper asal Sabah,” katanya kepada mStar.

    Sebelum aktif sebagai pelakon, pelawak dan pengacara Joey sebenarnya memulakan kerjaya seni dalam bidang nyanyian sekitar tahun 1992.

    M Nasir merupakan orang yang bertanggungjawab membuka jalan Joey sebagai penyanyi selepas bakatnya mula disedari dalam satu pertandingan.

    Joey juga pernah menjadi vokalis kumpulan Exists selepas Ezad Lazim mengundurkan diri.

    Menerusi penglibatan dalam FD4, Joey bergandingan dengan penyanyi Naqiu apabila kejutan pengumumannya sebagai salah seorang peserta pada minggu pertama konsert yang berlangsung pada Ahad lalu.

    Mendapat sorakan penonton yang hadir, mereka juga memberikan persembahan terbaik menerusi lagu Sinaran (Datuk Sheila Majid) dan Akhirnya Kini Pasti (Anita Sarawak). – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda